Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 1 Mei 2025, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labuan – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan buat julung-julung kali diadakan di wilayah ini, dengan menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kallam dipilih sebagai lokasi penganjurannya.

Program Kembara MDK yang berlangsung semalam berjaya menghimpunkan sebanyak 215 orang peserta yang terdiri daripada 130 orang pelajar sekolah rendah, 50 orang pelajar sekolah menengah dan 35 orang guru dalam Wilayah Persekutuan Labuan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Yahya Ahmad Puteh yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan dalam ucapan perasmiannya berkata, pengajaran berasaskan majalah ini bukanlah suatu perkara yang baharu, namun perkara tersebut merupakan satu daripada elemen pendekatan pengajaran yang dianggap dan dikenal pasti boleh meningkatkan minat para pelajar dalam pengajaran serta pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Penggunaan majalah di dalam kelas juga merupakan sebuah alternatif yang mendedahkan para pelajar kepada pengetahuan yang terkini,” katanya.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Yahya Ahmad Puteh ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa keadaan ini secara tidak langsung memudahkan para guru, khususnya guru Bahasa Melayu untuk mempunyai bahan yang boleh dijadikan sebagai panduan dan boleh diguna pakai di dalam bilik darjah.

“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendekati bahan bacaan yang berkualiti, namun turut menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan warga sekolah,” ujarnya lagi.

Dalam inti pati ucapannya juga, beliau menegaskan bahawa program ini menyokong inisiatif bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sebagai wahana komunikasi dan pemikiran jati diri bangsa yang selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Yahya Ahmad Puteh (dua dari kiri) ketika meninjau pelaksananaan Program Kembara MDK bersama-sama dengan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar (tiga dari kiri) dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam, YBrs. Puan Dalilah Desa (pertama dari kiri).

Melalui program ini juga, murid bukan sahaja menjadi pengguna ilmu tetapi juga didorong untuk menjadi penjana idea, pemikir kreatif dan pembaca kritis.

Pendekatan ini bertepatan dengan agenda pendidikan negara yang memenekankan aspek kemahiran berfikir aras tinggi dan pembelajaran abad ke-21.

Sementara itu, Timbalan Pengarah II Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, YBrs. Encik Zaidi Ismail dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa antara hasrat kunjungan pihak DBP ke Wilayah Persekutuan Labuan adalah untuk memberikan bimbingan dan galakan kepada para pelajar, khususnya dari SK Bukit Kalam supaya dapat menyumbang hasil karya serta menyertai dunia penulisan kreatif.

Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, YBrs. Encik Zaidi Ismail ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Beliau turut berkongsi bahawa Labuan merupakan lokasi kedua penganjuran Program Kembara MDK bagi peringkat DBP Cawangan Sabah selepas Sandakan pada bulan lalu sebelum diteruskan ke Tuaran dan Membakut pada bulan Jun nanti bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-69.

YBrs. Encik Zaidi Ismail yang juga merupakan penceramah bagi Bengkel MDK untuk Guru.

Sebagai tanda sokongan kepada pembudayaan ilmu, DBP Cawangan Sabah turut menyampaikan sumbangan wakaf buku terbitan DBP kepada lima buah sekolah, iaitu SK Bukit Kallam, SK Pekan Dua, SK Sungai Lada, SK Rancha-rancha dan Sekolah Rendah Agama MAIWP Labuan.

Majlis penyampaian sumbangan wakaf buku terbitan DBP disampaikan oleh Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, YBrs. Encik Zaidi Ismail (tengah).

Penganjuran Program Kembara MDK yang mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada kali ini telah memasuki penganjurannya kali ketiga pada tahun 2025 setelah pelaksanaannya di Sandakan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.

Editor Majalah Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman ketika memberikan taklimat dalam Program Kembara MDK Dewan Siswa.
Editor Majalah Dewan Pelajar, Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman ketika memberikan taklimat dalam Program Kembara MDK Dewan Pelajar.

Pelaksanaan Program Kembara MDK merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030 di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.

DBP Cawangan Sabah mengadakan jualan buku terbitan DBP yang turut mendapat perhatian daripada para pelajar sekolah.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Ag Marten Haji Abdul Rahman; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam, YBrs. Puan Dalilah Desa, guru-guru dan para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara gelagat pelajar ketika aktiviti berkumpulan dalam Program Kembara MDK Dewan Pelajar.
Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi