Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabuan – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan buat julung-julung kali diadakan di wilayah ini, dengan menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kallam dipilih sebagai lokasi penganjurannya.
Program Kembara MDK yang berlangsung semalam berjaya menghimpunkan sebanyak 215 orang peserta yang terdiri daripada 130 orang pelajar sekolah rendah, 50 orang pelajar sekolah menengah dan 35 orang guru dalam Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Yahya Ahmad Puteh yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Pendidikan dalam ucapan perasmiannya berkata, pengajaran berasaskan majalah ini bukanlah suatu perkara yang baharu, namun perkara tersebut merupakan satu daripada elemen pendekatan pengajaran yang dianggap dan dikenal pasti boleh meningkatkan minat para pelajar dalam pengajaran serta pembelajaran di dalam bilik darjah.
“Penggunaan majalah di dalam kelas juga merupakan sebuah alternatif yang mendedahkan para pelajar kepada pengetahuan yang terkini,” katanya.

Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa keadaan ini secara tidak langsung memudahkan para guru, khususnya guru Bahasa Melayu untuk mempunyai bahan yang boleh dijadikan sebagai panduan dan boleh diguna pakai di dalam bilik darjah.
“Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mendekati bahan bacaan yang berkualiti, namun turut menggalakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan warga sekolah,” ujarnya lagi.
Dalam inti pati ucapannya juga, beliau menegaskan bahawa program ini menyokong inisiatif bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sebagai wahana komunikasi dan pemikiran jati diri bangsa yang selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Melalui program ini juga, murid bukan sahaja menjadi pengguna ilmu tetapi juga didorong untuk menjadi penjana idea, pemikir kreatif dan pembaca kritis.
Pendekatan ini bertepatan dengan agenda pendidikan negara yang memenekankan aspek kemahiran berfikir aras tinggi dan pembelajaran abad ke-21.
Sementara itu, Timbalan Pengarah II Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, YBrs. Encik Zaidi Ismail dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa antara hasrat kunjungan pihak DBP ke Wilayah Persekutuan Labuan adalah untuk memberikan bimbingan dan galakan kepada para pelajar, khususnya dari SK Bukit Kalam supaya dapat menyumbang hasil karya serta menyertai dunia penulisan kreatif.

Beliau turut berkongsi bahawa Labuan merupakan lokasi kedua penganjuran Program Kembara MDK bagi peringkat DBP Cawangan Sabah selepas Sandakan pada bulan lalu sebelum diteruskan ke Tuaran dan Membakut pada bulan Jun nanti bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-69.

Sebagai tanda sokongan kepada pembudayaan ilmu, DBP Cawangan Sabah turut menyampaikan sumbangan wakaf buku terbitan DBP kepada lima buah sekolah, iaitu SK Bukit Kallam, SK Pekan Dua, SK Sungai Lada, SK Rancha-rancha dan Sekolah Rendah Agama MAIWP Labuan.

Penganjuran Program Kembara MDK yang mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada kali ini telah memasuki penganjurannya kali ketiga pada tahun 2025 setelah pelaksanaannya di Sandakan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.


Pelaksanaan Program Kembara MDK merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030 di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Encik Ag Marten Haji Abdul Rahman; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam, YBrs. Puan Dalilah Desa, guru-guru dan para pelajar sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.
