Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – “Saya percaya bahawa pelibatan aktif alumni yang telah berjaya dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, industri dan pentadbiran mampu memberikan impak yang besar terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM),“ ujar Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBrs. Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Tan Sri Haji Mohd Khamil Jamil ketika berucap di Program Gala 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis Sempena Sambutan Jubli Emas pada pagi semalam.

Program yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Perlis melalui Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri ini berlangsung di Dewan Seri Semarak.
Beliau menegaskan bahawa UiTM Cawangan Perlis telah berkembang pesat daripada sebuah kampus kecil kepada sebuah institusi yang berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa dalam pelbagai bidang selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi yang disegani.
Sebagai sebuah institusi yang berpegang teguh pada moto keramat Usaha, Taqwa, Mulia, UiTM bukan sahaja sebuah universiti, tetapi juga simbol aspirasi dan kebanggaan yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan bangsa, agama, dan negara.
Tegas beliau, alumni UiTM bukan sahaja menjadi bukti kejayaan institusi ini, tetapi juga pemangkin kepada transformasi positif dan sumber sokongan yang penting bagi memastikan kemajuan berterusan universiti ini.

Turut menyertai program ini ialah Timbalan Naib Canselor, ICAN UiTM, YBhg. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah. Menurut beliau, alumni memainkan peranan penting dalam melestarikan transformasi dan kemajuan institusi agar kekal relevan.
Tanpa sokongan dan pelibatan aktif alumni, sesebuah institusi sukar untuk berkembang dan mencapai kejayaan yang berterusan.
Saya ingin mengajak semua alumni untuk kembali bersama-sama menabur budi dan bakti kepada UiTM Cawangan Perlis dengan menyertai dan memberikan sokongan terhadap Persatuan Alumni.
Dalam masa yang sama, Koordinator ICAN UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr Non Daina Masdar berkata, tujuan penganjuran program ini adalah untuk memupuk interaksi dan pelibatan yang bermakna antara alumni, warga dengan agensi luar.
“Selain menyediakan pentas untuk warga universiti menjalin rangkaian, hubungan dan kerjasama, program ini juga mengukuhkan ikatan antara almamater dengan mengambil bahagian secara aktif dalam meraikan pencapaian alumni,“ kata beliau.
Majlis juga turut menerima sumbangan daripada Presiden Persatuan Alumni UiTM Cawangan Perlis, Puan Zarina Ahmad dan Presiden Persatuan Alumni Perladangan UiTM, Encik Anwar Ahmad yang disampaikan kepada Rektor, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.


Inti pati majlis telah diisi dengan pelbagai acara termasuklah persembahan Gozheng oleh Encik Mohamad Akmal Danial Mohamed Nizaidi dan persembahan nyanyian oleh YBrs. Dr. Saifuddin Mohd Azami dan alumni. Persembahan iringan muzik tradisional telah dialunkan oleh Kumpulan Muzik Asli Indra Kenchana yang diselenggara oleh Puan Nor Fadhilah Mohamad Noor Akae dan sesi cabutan bertuah serta Pameran Nostalgia yang disediakan oleh para pegawai Perpustakaan Dato‘ Jaafar Hassan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Jawatankuasa Eksekutif Negeri, para pegawai dari Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri.