Diterbitkan pada 29 Disember 2024, 11:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – “Saya percaya bahawa pelibatan aktif alumni yang telah berjaya dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, industri dan pentadbiran mampu memberikan impak yang besar terhadap Universiti Teknologi MARA (UiTM),“ ujar Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBrs. Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Tan Sri Haji Mohd Khamil Jamil ketika berucap di Program Gala 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis Sempena Sambutan Jubli Emas pada pagi semalam.

Ahli Lembaga Pengarah UiTM, YBrs. Tuan Haji Mustaffa Kamil Ayub yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, YBhg. Tan Sri Haji Mohd Khamil Jamil menyampaikan ucapan dalam Program Gala 50 Tahun UiTM Cawangan Perlis Sempena Sambutan Jubli Emas.

Program yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Perlis melalui Unit Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri ini berlangsung di Dewan Seri Semarak.

Beliau menegaskan bahawa UiTM Cawangan Perlis telah berkembang pesat daripada sebuah kampus kecil kepada sebuah institusi yang berdaya saing pada peringkat nasional dan antarabangsa dalam pelbagai bidang selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi yang disegani.

Sebagai sebuah institusi yang berpegang teguh pada moto keramat Usaha, Taqwa, Mulia, UiTM bukan sahaja sebuah universiti, tetapi juga simbol aspirasi dan kebanggaan yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan bangsa, agama, dan negara.

Tegas beliau, alumni UiTM bukan sahaja menjadi bukti kejayaan institusi ini, tetapi juga pemangkin kepada transformasi positif dan sumber sokongan yang penting bagi memastikan kemajuan berterusan universiti ini.

Timbalan Naib Canselor, ICAN UiTM, YBhg. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah.

Turut menyertai program ini ialah Timbalan Naib Canselor, ICAN UiTM, YBhg. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah. Menurut beliau, alumni memainkan peranan penting dalam melestarikan transformasi dan kemajuan institusi agar kekal relevan.

Tanpa sokongan dan pelibatan aktif alumni, sesebuah institusi sukar untuk berkembang dan mencapai kejayaan yang berterusan.

Saya ingin mengajak semua alumni untuk kembali bersama-sama menabur budi dan bakti kepada UiTM Cawangan Perlis dengan  menyertai dan memberikan sokongan terhadap Persatuan Alumni.

Dalam masa yang sama, Koordinator ICAN UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr Non Daina Masdar berkata, tujuan penganjuran program ini adalah untuk memupuk interaksi dan pelibatan yang bermakna antara alumni, warga dengan agensi luar.

“Selain menyediakan pentas untuk warga universiti menjalin rangkaian, hubungan dan kerjasama, program ini juga mengukuhkan ikatan antara almamater dengan mengambil bahagian secara aktif dalam meraikan pencapaian alumni,“ kata beliau.

Majlis juga turut menerima sumbangan daripada Presiden Persatuan Alumni UiTM Cawangan Perlis, Puan Zarina Ahmad dan Presiden Persatuan Alumni Perladangan UiTM, Encik Anwar Ahmad yang disampaikan kepada Rektor, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.

Alunan alat muzik tradisional Gozheng menarik tumpuan para tetamu di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Kumpulan Muzik Asli Indra Kenchana membuat persembahan tradisional di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Inti pati majlis telah diisi dengan pelbagai acara termasuklah persembahan Gozheng oleh Encik Mohamad Akmal Danial Mohamed Nizaidi dan persembahan nyanyian oleh YBrs. Dr. Saifuddin Mohd Azami dan alumni. Persembahan iringan muzik tradisional telah dialunkan oleh Kumpulan Muzik Asli Indra Kenchana yang diselenggara oleh Puan Nor Fadhilah Mohamad Noor Akae dan sesi cabutan bertuah serta Pameran Nostalgia yang disediakan oleh para pegawai Perpustakaan Dato‘ Jaafar Hassan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Jawatankuasa Eksekutif Negeri, para pegawai dari Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri.

Kredit Foto: Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi