Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar — Hubungan erat antara negeri Perlis dengan enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand yang telah lama terjalin melalui sejarah, budaya dan keagamaan perlu terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semangat persaudaraan dan keterbukaan memainkan peranan penting dalam memperluas kerjasama yang mampu memberikan impak positif, bukan sahaja kepada negeri dan wilayah terlibat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menghadiri Majlis Mengadap oleh Delegasi Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman Thailand sempena Lawatan Kerja ke Negeri Perlis 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kangar.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), YBrs. Haji Najmuddin Abd Karim dan Pengerusi MAI Enam Wilayah Andaman, YBrs. Dr. Komon Doomluck, yang juga mengetuai Majlis Agama Islam Wilayah Phuket.
Lawatan kerja ini diadakan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan sosial. Delegasi MAI turut mengadakan perbincangan untuk meneroka peluang kerjasama baharu yang boleh membawa manfaat kepada umat Islam di kedua-dua negara.

Hubungan yang telah terjalin sejak sekian lama ini diharap akan terus berkembang, selaras dengan usaha untuk mempereratkan lagi ikatan sejarah dan budaya yang dikongsi bersama.
Program ini telah dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Enam Wilayah Andaman iaitu Majlis Agama Islam dari wilayah-wilayah Phuket, Ranong, Phang Nga, Krabi, Trang dan Satun.
Baginda bertitah, lawatan kerja ke Perlis kali ini membawa aspirasi yang amat penting, iaitu merapatkan lagi ukhwah dan jalinan kerjasama seterusnya membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs yakin hubungan baik dua hala yang merentasi negara ini akan berterusan dan lebih banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.
Sebagai rekod, lawatan kerja ini merupakan hasil daripada beberapa pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum ini dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan melalui pertukaran pengalaman, pendekatan dan pengurusan berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam.
