Diterbitkan pada 6 Disember 2024, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar — Hubungan erat antara negeri Perlis dengan enam Wilayah Andaman di Selatan Thailand yang telah lama terjalin melalui sejarah, budaya dan keagamaan perlu terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semangat persaudaraan dan keterbukaan memainkan peranan penting dalam memperluas kerjasama yang mampu memberikan impak positif, bukan sahaja kepada negeri dan wilayah terlibat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menghadiri Majlis Mengadap oleh Delegasi Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman Thailand sempena Lawatan Kerja ke Negeri Perlis 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kangar.

Raja Muda Perlis menjadi saksi kerjasama antara Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman Thailand dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), YBrs. Haji Najmuddin Abd Karim dan Pengerusi MAI Enam Wilayah Andaman, YBrs. Dr. Komon Doomluck, yang juga mengetuai Majlis Agama Islam Wilayah Phuket.

Lawatan kerja ini diadakan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang keagamaan, pendidikan dan pembangunan sosial. Delegasi MAI turut mengadakan perbincangan untuk meneroka peluang kerjasama baharu yang boleh membawa manfaat kepada umat Islam di kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis diiringi oleh Pengerusi MAI Enam Wilayah Andaman, YBrs. Dr. Komon Doomluck, Mufti Perlis dan pegawai-pegawai MAIPs.

Hubungan yang telah terjalin sejak sekian lama ini diharap akan terus berkembang, selaras dengan usaha untuk mempereratkan lagi ikatan sejarah dan budaya yang dikongsi bersama.

Program ini telah dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Enam Wilayah Andaman iaitu Majlis Agama Islam dari wilayah-wilayah Phuket, Ranong, Phang Nga, Krabi, Trang dan Satun.

Baginda bertitah, lawatan kerja ke Perlis kali ini membawa aspirasi yang amat penting, iaitu merapatkan lagi ukhwah dan jalinan kerjasama seterusnya membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Dengan semangat persaudaraan dan keterbukaan, Perlis dan Enam Wilayah Andaman Thailand terus memperkukuh kerjasama demi manfaat rakyat bersama – Raja Muda Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs yakin hubungan baik dua hala yang merentasi negara ini akan berterusan dan lebih banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.

Sebagai rekod, lawatan kerja ini merupakan hasil daripada beberapa pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum ini dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan melalui pertukaran pengalaman, pendekatan dan pengurusan berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam.

Raja Muda Perlis bersama-sama asatizah.
Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi