Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis 2024 telah berlangsung dengan jayanya bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat serta membangkitkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman dadah.
Program tersebut telah dilaksanakan pada 25 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Kangar, Perlis.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sempena program tersebut seperti acara sukan rakyat, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pameran perkhidmatan dan jualan produk Sokongan untuk Kepulihan Anda (SUKA) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Program Kayuhan Berinformasi turut dilaksanakan dengan perkenan DYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyertai kayuhan ini.

Sebagai simbolik Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis tahun ini, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan mencemar duli merasmikan lukisan mural yang disediakan.

Turut hadir dalam program ini ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, YB Datuk Mohd Zamri Mat Zain; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.
Dewan Bahasa dan Pustaka turut serta melaksanakan komitmen kegiatan bahasa dan sastera dalam program ini seperti Seronoknya Membaca, Pertandingan Bicara Berirama, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Pertandingan Lagu Puisi.