Diterbitkan pada 31 Mei 2024, 14:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis 2024 telah berlangsung dengan jayanya bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat serta membangkitkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak dalam memerangi ancaman dadah.

Program tersebut telah dilaksanakan pada 25 Mei  di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Kangar, Perlis.

Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sempena program tersebut seperti acara sukan rakyat, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pameran perkhidmatan dan jualan produk Sokongan untuk Kepulihan Anda (SUKA) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Program Kayuhan Berinformasi turut dilaksanakan dengan perkenan DYMM Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyertai kayuhan ini.

DYMM Pemangku Raja Perlis (depan, empat dari kiri) berkenan mencemar duli menyertai Program Kayuhan Berinformasi.

Sebagai simbolik Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Perlis tahun ini, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan mencemar duli merasmikan lukisan mural yang disediakan.

Peserta program merakamkan gambar bersama-sama dengan DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (depan, enam dari kiri).

Turut hadir dalam program ini ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, YB Datuk Mohd Zamri Mat Zain;  Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Puan Shobah Jamil; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Dewan Bahasa dan Pustaka turut serta melaksanakan komitmen kegiatan bahasa dan sastera dalam program ini seperti Seronoknya Membaca, Pertandingan Bicara Berirama, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Pertandingan Lagu Puisi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi