Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima Sesi Sembah Taklimat berkaitan dengan perkembangan, kemajuan dan hala tuju projek strategik Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Perlis pada petang semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh pengurusan tertinggi NCIA yang terdiri daripada Ketua Eksekutif, Mohamad Haris Kader Sultan; Ketua Pegawai Operasi, Hasri A. Hasan; dan Pengarah Perkhidmatan Korporat, Zuhairi Mohmed.
Turut hadir ke program yang diadakan di Ibu Pejabat NCIA di Penang Science Park, Simpang Ampat, Pulau Pinang tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Puteh Soraya A Rahman.

Pembangunan bersepadu di Chuping akan menjadi kunci untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri Perlis. Untuk merealisasikan impak pembangunan ini, penyelarasan dan fasilitasi oleh Kerajaan Negeri adalah penting dalam memastikan projek berimpak tinggi NCER siap dengan lancar.
Pada masa yang sama, bagi memastikan semua sasaran utama Pelan Pembangunan Strategik NCER 2021-2025 tercapai, Kerajaan Negeri dan NCIA akan bekerjasama rapat untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.
