Diterbitkan pada 19 Februari 2023, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini memberikan penjelasan yang berkaitan dengan isu tular dalam Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 yang telah dijalankan pada 16 Februari 2023 (Khamis).

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh LP, pelaksanaan UMBI SPM tahun 2022 telah mendapat perhatian masyarakat apabila terdapat beberapa dakwaan dalam media sosial berkaitan dengan kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan penggiat TikTok sebagai pelontar suara. Keputusan LP menggunakan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022  dibuat berdasarkan ketetapan yang berikut.

  1. LP memaklumkan bahawa format soalan UMBI SPM adalah dalam pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respons terhad. Oleh itu, UMBI SPM memerlukan calon untuk mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan.
  2. LP juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan. Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil kepada calon.
  3. Kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR). Pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan. Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.
  4. Praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada di bandar dan di luar bandar bagi mengesahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.

Oleh itu, LP menegaskan bahawa penggiat TikTok sebagai pelontar suara audio UMBI SPM tahun 2022 adalah tidak tepat. Dalam kenyataan media yang sama, LP memaklumkan bahawa pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022 adalah terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti. Pelontar suara merupakan individu yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Selain itu, mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM tahun 2022.

Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh. LP akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah terjamin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi