Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Pelancaran Buku Bersiri Puteri Legenda, Tumu dan Warna-warni Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diserikan dengan perkongsian inspirasi yang menampilkan tokoh pendidik dan penulis karya kanak-kanak, iaitu Puan Maslina Md Nor di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sesi interaktif ini berjaya menarik tumpuan pengunjung di reruai DBP untuk menyelami dunia penulisan dan ilustrasi karya sastera kanak-kanak.
Tampil anggun dan bersahaja dengan menggayakan busana persis watak sejarah, beliau sempat berseloroh menggelar dirinya sebagai “Tun Teja, Permaisuri Senja”.

Bekas guru Pendidikan Seni Visual dan Bahasa Inggeris yang telah menabur bakti di bawah Kementerian Pendidikan selama 30 tahun ini sudi berkongsi pengalaman manis dan cabaran sepanjang menghasilkan kesemua 24 buah buku yang dilancarkan.
Menurut beliau, penghasilan karya tersebut didorong oleh minat yang amat mendalam terhadap bidang seni lukis dan penulisan, selain rasa tanggungjawab sosial untuk mendidik anak bangsa.
Saya berasa Allah SWT telah mengurniakan bakat ini, dan menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik demi kanak-kanak. Kepuasan sebenar bagi saya bukanlah pada wang ringgit atau nama, tetapi melihat karya ini dapat memberikan impak positif kepada generasi muda.
Puan Maslina turut mendedahkan bahawa proses penghasilan buku bergambar, terutamanya yang melibatkan ilustrasi terperinci bukanlah suatu tugas yang mudah dan tugas tidak boleh disiapkan dalam tempoh yang singkat.
Beliau memberikan contoh buku siri Warna-warni Malaysia yang lakaran awalnya telah mula diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu.

Buku ini dihasilkan secara kreatif bagi mendidik kanak-kanak tentang kekayaan warisan negara secara santai melalui aktiviti mewarna.
Menerusi siri ini, kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai elemen tempatan seperti tarian dan rempah-ratus.
Kanak-kanak dapat mengenali jenis herba seperti lada hitam dan jintan manis tanpa dipaksa untuk membaca secara formal.
Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, para pengunjung majlis turut dipertonton dengan tayangan video istimewa.
Tayangan eksklusif tersebut memaparkan proses kreatif dan perincian di sebalik tabir penghasilan ilustrasi karya Puan Maslina. Langkah ini memberikan pendedahan langsung kepada pembaca tentang tahap ketelitian, kesabaran dan dedikasi yang diperlukan untuk menerbitkan sesebuah buku kanak-kanak yang bermutu.
Bagi menghangatkan lagi suasana dewan, Puan Maslina mengambil inisiatif mengendalikan sesi kuiz interaktif bersama-sama dengan para pengunjung. Pelbagai soalan menarik yang menguji pengetahuan berkaitan dengan siri buku legenda dan sejarah Malaysia telah diajukan.
Kemuncak acara penutup bagi sesi ini diserikan dengan persembahan pentas yang cukup bermakna oleh kumpulan Emas Band.

Persembahan istimewa ini dijayakan oleh ahli keluarga penulis sendiri, iaitu anak perempuannya, Mas Elya Nabila bersama-sama dengan menantu beliau, Hafizul Asyraf. Alunan muzik dan nyanyian mereka memukau para penonton dan menyuntik elemen hiburan santai yang melengkapkan lagi kemeriahan majlis tersebut.