Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 ke-43, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Majalah telah mengadakan sebuah program Bual Bicara Dewan Masyarakat:Konflik Asia Barat Dunia Terkesan, yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
Bual bicara ini menampilkan pemerhati politik antarabangsa, Encik Ahmad Muziru Idham Adnan sebagai pengendali program serta panel jemputan, iaitu penganalisis politik antarabangsa, Encik Haris Zalkapli dan penganalisis geopolitik, Encik Ayman Rasydan Wong.
Selaku moderator program, Encik Ahmad Muziru Idham Adnan menerangkan bahawa perbincangan topik ini bertujuan untuk memberikan pemahaman mendalam kepada masyarakat berkaitan isu geopolitik di Asia Barat yang memberikan kesan secara langsung kepada kehidupan harian masyarakat setempat.
Beliau turut menekankan bahawa konflik yang berlaku di Asia Barat tidak boleh dilihat secara terasing kerana sebarang ketegangan di sesebuah negara akan memberikan impak berantai kepada negara jiran serta pasaran global, khususnya dalam aspek minyak dan perdagangan.
Menurut Encik Haris Zalkapli, ketegangan atau konflik yang berlaku di Asia Barat akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak, kos pengangkutan serta inflasi barang asas.
Beliau menyatakan bahawa rantau tersebut memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan dunia melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz dan Terusan Suez yang menjadi nadi kepada pergerakan minyak dan perdagangan antarabangsa.
Maknanya terdapat tiga perkara utama, iaitu faktor kedudukan geografi, sumber minyak dan gas, serta peranannya dalam menyokong orde dunia antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa struktur orde dunia yang terbentuk selepas Perang Dunia Kedua kini mula menunjukkan tanda-tanda tekanan apabila munculnya kuasa-kuasa baharu yang mencabar dominasi sistem sedia ada.

Selain itu, beliau menyifatkan bahawa walaupun Amerika Syarikat (AS) masih unggul dari segi ketenteraan dan jaringan pakatan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun pengaruhnya kini semakin dicabar oleh kebangkitan kuasa ekonomi dan teknologi lain khususnya China.
“Kalau dari segi ketenteraan memang tiada mana-mana yang dapat mengatasi AS, tetapi dari segi teknologi dan ekonomi, mereka semakin tercabar dengan China,” ujarnya.
Sementara itu, Encik Ayman Rasydan Wong menghuraikan bahawa konflik antara Iran dengan AS dan Israel tidak boleh dilihat hanya daripada sudut program nuklear Iran semata-mata.
Menurut beliau, akar kepada konflik tersebut bermula sejak Revolusi Iran 1979 yang menyaksikan perubahan dasar negara Iran, iaitu daripada sekutu Barat (pro-Barat) kepada musuh utama AS dan Israel.
AS menyatakan seribu satu alasan untuk menyerang Iran. Mereka sangat tidak menyukai kerajaan yang bernama Republik Islam Iran kerana membawa agenda anti-Barat dan anti-Israel.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa hubungan konflik Asia Barat menerusi persaingan antara AS dengan China, membuktikan bahawa kedudukan Iran amat penting kepada strategi geopolitik dunia.
“Tindakan yang dilakukan AS terhadap Iran ini bukan hanya kerana Israel, tetapi kita mesti lihat daripada sudut makro, iaitu persaingan antara AS dengan China,” jelasnya.
Menurut beliau, kemampuan Iran untuk terus bertahan memberikan ruang kepada China untuk mengekalkan pengaruhnya dalam sistem antarabangsa dan mengimbangi tekanan daripada AS.
Selain itu, beliau menyifatkan bahawa penubuhan Lembaga Keamanan (BOP) oleh AS yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik di Gaza sebagai tidak praktikal dan gagal menunjukkan kemajuan yang ketara.
“Penubuhan Lembaga Keamanan (BOP) lebih kepada satu alat untuk mengesahkan kedudukan Israel ke atas tanah-tanah jajahan dan bukannya satu inisiatif yang benar-benar membawa keamanan,” tegasnya.
Yang turut hadir dalam bual bicara tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd. Shukor.