Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kementerian Ekonomi melalui Pusat SDG Negara (PSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Education Sustainable Development (ESD) Teacher Academy.

Penganjuran program strategik tersebut dilaksanakan di bawah fokus inisiatif Kementerian Peneraju SDG 4 (Pendidikan Berkualiti). Inisiatif ini bertepatan dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang memberi penekanan khusus terhadap pembudayaan nilai kemampanan dalam ekosistem pendidikan negara.

Bengkel dua hari yang berlangsung di Hotel Sri Malaysia itu telah berjaya menghimpunkan sebanyak 107 orang guru sekolah rendah dan sekolah menengah dari sekitar daerah Kuantan.

Objektif utamanya adalah untuk melengkapkan warga pendidik dengan pendedahan asas dan ilmu pedagogi berkaitan ESD, sekali gus membimbing mereka dalam merangka Pelan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berasaskan penyelesaian masalah (problem-based-learning).

Pendekatan holistik ini turut mendukung hala tuju Pelan Pendidikan Negara 2026–2030 ke arah melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, kreatif, inovatif serta mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap agenda pembangunan mampan sejagat.

Gimik pelancaran penutupan Akademi Guru ESD di Hotel Seri Malaysia Kuantan.

Majlis penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Turut hadir menyerikan majlis penutup berkenaan ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), wakil pengurusan tertinggi UMPSA dan PSN, serta wakil daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Ekonomi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi