Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline bagi sesi kemasukan tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima daripada calon lepasan SPM bagi kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Daripada jumlah calon yang berjaya memperoleh tawaran, sebanyak 91,357 calon ditawarkan tempat di universiti awam, diikuti 60,947 calon ke politeknik, 15,844 calon ke kolej komuniti dan 1,655 calon ke MARA BPT.
KPT turut menyediakan “laluan khas” kepada beberapa kategori calon sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi secara lebih inklusif dan adil. Laluan khas tersebut melibatkan sebanyak 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet dan 10,499 calon daripada kategori B40.
Selain itu, sebanyak 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA.
Menurut kenyataan itu lagi, untuk pertama kalinya semua program pengajian dibuka untuk dipohon oleh calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing. Langkah tersebut dilihat sebagai komitmen kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan tinggi dapat diakses secara lebih menyeluruh tanpa diskriminasi.
Pada masa yang sama, KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas bagi memastikan pelajar berprestasi tinggi mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagi sesi kemasukan kali ini, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan meliputi 41 program sijil, 57 program asasi, 264 program diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
KPT menjelaskan bahawa pemilihan calon dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua calon yang layak disusun mengikut markah merit daripada tertinggi hingga terendah.
Pada masa yang sama, calon yang tidak berjaya memperoleh tawaran masih berpeluang mengemukakan rayuan melalui sistem UPUOnline yang dibuka selama 10 hari bermula pada 22 Mei 2026, pukul 12.00 tengah hari hingga 31 Mei 2026, pukul 5.00 petang.
KPT turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dan berharap peluang melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi dimanfaatkan dengan sebaik mungkin demi masa depan yang lebih cemerlang.