Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Perlis Showcase 2026 bertemakan Dari Sempadan ke Kota Raya yang berlangsung di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Duli-duli Tuanku disambut oleh Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki dan Ketua Pengarah MARA, YBrs. Datuk Zulfikri Osman. 

Program Perlis Showcase 2026 merupakan sebuah program jualan dan pameran berskala besar anjuran MARA Negeri Perlis dengan kerjasama usahawan tempatan yang berlangsung pada 20 hingga 22 Mei 2026. 

Penganjuran program ini bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2026 bagi mengetengahkan keunikan negeri Perlis, termasuk produk ikonik, warisan budaya, makanan tradisional serta potensi pelancongan negeri kepada masyarakat di ibu kota.

Para peserta yang menghadiri program Perlis Showcase 2026 bertemakan “Dari Sempadan ke Kota Raya” yang berlangsung di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur.

Program ini turut menjadi platform strategik dalam memperluaskan akses pasaran usahawan bimbingan MARA Perlis ke peringkat nasional, sekali gus memperkukuh daya saing produk tempatan serta membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas dan mampan.

Antara tarikan utama yang disediakan pada kali ini ialah Malaysia bergandingan dengan Thailand Food Street yang menampilkan pelbagai hidangan viral utara dan menu autentik Thailand, seperti House of Harum Manis yang menawarkan mangga Harum Manis Perlis gred premium terus dari ladang, serta Padang Besar dan Kuala Perlis Street yang menghimpunkan jualan produk bebas cukai, pakaian, makanan kering dan kraf tangan yang sinonim dengan kawasan sempadan utara negara.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara interaktif dan persembahan kebudayaan menerusi Pentas Kebudayaan dan Pertandingan yang menampilkan Pertandingan Seni Silat, Bridal World Heritage, Pertandingan Mewarna serta pertandingan karaoke yang berlangsung sepanjang program.

Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu melonjakkan promosi negeri Perlis sebagai destinasi pelancongan dan hab produk tempatan, di samping menyokong pembangunan ekonomi usahawan kecil dan sederhana secara lebih menyeluruh.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi