Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Jalinan kerjasama strategik antara negeri Perlis dengan Universitas Muhammadiah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia terus diperkasakan secara menyeluruh, dengan merangkumi sektor pendidikan tinggi, pembangunan industri serta pengukuhan peradaban Melayu serantau sebagai teras kemajuan bersama.
Maklumat tersebut dipersembahkan oleh Ketua Badan Pembina Harian (BPH) Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Prof. Dr. Agussani, ketika sesi sembah mengadap Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini..
Ketika sesi tersebut, UMSU memaklumkan bahawa perancangan untuk menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa di Medan, Indonesia bagi terus memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama global yang dijangka akan disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra pada bulan September ini.
Sebagai langkah memperluas kehadiran negeri Perlis di Sumatera Utara, cadangan penubuhan Anjung Perlis @ UMSU atau “Ruang Faizuddin” di Auditorium Berkemajuan UMSU turut diketengahkan sebagai pusat promosi dan penyebaran maklumat negeri ini.
UMSU juga bercadang untuk memainkan peranan sebagai “Duta Perlis” di wilayah tersebut bagi meningkatkan kerjasama diplomatik dan ekonomi secara berterusan.
Beralih kepada bidang akademik, kerjasama akan diperkasakan melalui pelaksanaan projek Kajian Peradaban Melayu yang melibatkan negeri Perlis-Sumatera Utara, dengan fokus kepada pemeliharaan warisan, pemikiran serta nilai-nilai serantau.
Dari sudut pembangunan strategik pula, beberapa bidang kerjasama utama telah dikenal pasti, termasuk pengukuhan sektor semikonduktor dengan sokongan kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selaras dengan dasar industri Indonesia, pemantapan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), khidmat kepakaran UniMAP dalam pembangunan kawasan industri di Sumatera Utara, serta penerokaan kerjasama dalam sektor pertanian dan perikanan melibatkan rantaian bekalan koko, sawit dan industri perikanan.
Kerjasama ini turut diperluas kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Asnaf di Sumatera Utara, pengaktifan Majlis Ilmuan Nusantara bagi penyelarasan fatwa dan pemikiran kontemporari, serta penubuhan Majlis Kerjasama Pendidikan Tinggi yang melibatkan UMSU, UMAM dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi memastikan penyelarasan strategik yang berterusan.
Kedudukan strategik negeri Perlis dan Medan yang saling berdekatan dilihat sebagai kelebihan signifikan dalam memperkukuh jaringan rentas sempadan, sekli gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai sektor.
Kerjasama erat ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi dan ekonomi serantau yang lebih mampan, progresif serta berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
Turut hadir ialah Rektor UMSU, Prof. Dr. Akrim; Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. H. Saidul Amin; Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.