Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Program Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor bersama-sama dengan Sparkup Career Fair 2026 telah berjaya dianjurkan pada 19 Mei 2026 di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dengan penyertaan kira-kira 500 orang pelajar serta 30 buah syarikat dan rakan industri.

Program ini merupakan kerjasama strategik antara Sparkup Sdn. Bhd. dengan UiTM Cawangan Selangor melalui Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan (iCARE) bersama-sama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pendedahan secara langsung kepada dunia pekerjaan, peluang latihan industri, pembangunan kemahiran masa hadapan serta pembinaan jaringan profesional bersama-sama dengan majikan dan pihak industri.

Antara pihak industri yang terlibat termasuklah Genting Malaysia Berhad, Watsons Malaysia, A&W Malaysia dan Sparkup Sdn. Bhd.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti forum kerjaya, sesi perkongsian industri, pameran kerjaya, sesi jaringan profesional serta interaksi dua hala antara pelajar dengan majikan.

Forum industri yang bertajuk “Future-Ready Graduates: What Employers Really Want in 2026 and Beyond” menampilkan ahli panel yang merupakan alumni UiTM, iaitu wakil dari Watsons Malaysia, Cik Adryanna Hamid dan Graduan Malaysia, Cik Nurneesa Akmal.

Sesi tersebut memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kehendak sebenar industri, kemahiran semasa yang diperlukan oleh majikan serta cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Selain itu, pelajar turut berpeluang untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan, latihan industri dan pembangunan kerjaya secara terus daripada wakil industri yang hadir.

Para pelajar yang hadir ke Program UiTM Cawangan Selangor bersama-sama dengan Sparkup Career Fair 2026.

Program ini menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan strategik antara universiti dengan industri. Program ini juga selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan holistik, kompetitif dan berdaya saing global.

Penganjuran program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, iaitu melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dengan sektor industri.

Kredit Foto: Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi