Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial, TikTok susulan kegagalan pihak berkenaan menangani kandungan yang menghina Institusi Diraja Malaysia.
Tindakan tegas itu diambil selepas platform tersebut didapati gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh munasabah bagi menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik, palsu dan mengancam, serta akaun palsu yang disasarkan kepada institusi berkenaan.
SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan susulan penularan kandungan yang dikaitkan dengan satu akaun palsu yang kononnya berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kandungan tersebut bukan sahaja mengandungi kenyataan yang jelik dan menghina, malah turut dikesan menggunakan video yang dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi. Perbuatan ini berkemungkinan besar melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang jenayah lain,” menurut kenyataan tersebut.
SKMM turut mendedahkan bahawa maklum balas dan tindakan yang diambil oleh TikTok sebelum ini adalah tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dengan segera bagi menghalang penyebaran lanjut.
Menerusi Tuntutan Statutori yang dikemukakan, TikTok kini dikehendaki melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan kandungan, memastikan penguatkuasaan garis panduan komuniti yang lebih berkesan, serta mengemukakan penjelasan rasmi berhubung dengan kegagalan kawal selia yang berlaku.
SKMM menegaskan bahawa perkara yang tergolong dalam konteks 3R (Kaum, Agama, dan Raja) adalah amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan dengan itu, SKMM akan terus mengambil tindakan kawal selia dan undang-undang yang setimpal dalam bidang kuasanya bagi memastikan tiada mana-mana platform digital mengeksploitasikan perkhidmatan media sosial di Malaysia menerusi aktiviti yang menyalahi undang-undang.