Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangYan – Program perdana anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Program Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) telah berlangsung di Kampung Aceh, Yan, Kedah dengan pelibatan lebih kurang 200 peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah dan komuniti setempat.
Program yang bertemakan “Menjalin Hubungan Bersama Komuniti: Mengakar Bahasa, Tamadun dan Falsafah” itu telah dirasmikan oleh Dekan SLCP UUM, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Haji Rafie.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendekatan SULAM mampu memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat melalui pemindahan ilmu secara langsung.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori dan pengetahuan akademik di lapangan sebenar, malah mampu membentuk graduan yang berjiwa masyarakat, berkemahiran insaniah dan peka terhadap isu komuniti.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung termasuk pameran sejarah Kampung Aceh seperti pameran gagasan idea pengarang kreatif kelahiran negeri Kedah, pemerkasaan galeri sejarah Kampung Aceh, dan pendokumentasian warisan sejarah masyarakat kampung Aceh secara pendigitalan.

Program kenduri rakyat turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara warga kampung dengan peserta yang terdiri dalam kalangan pensyarah dan mahasiswa universiti.
Pengarah program, Dr. Haslinda Hasan berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan usaha SLCP dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan komuniti secara lebih menyeluruh dan lestari.
Menurutnya, pelibatan empat program pengajian utama SLCP, iaitu Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat, Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif, Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan serta Ijazah Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan, membuktikan komitmen universiti dalam menghubungkan kepelbagaian disiplin ilmu dengan keperluan masyarakat setempat.
Program sehari itu turut mendapat kerjasama pihak Kampung Aceh Management Center (KAMC) dan Persatuan Pemilik Homestay Kampung Aceh bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat.