Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Skuad sepak takraw negara melakar sejarah gemilang apabila berjaya merangkul gelaran juara kategori kuadran dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, malam tadi.

Aksi peringkat akhir penuh mendebarkan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu menyaksikan regu negara mempamerkan keunggulan luar biasa untuk menundukkan cabaran hebat daripada pasukan India dengan keputusan mutlak 2-0, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh seluruh stadium.

Barisan wira negara yang menjadi juara dunia untuk Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw setelah menumpaskan pasukan India, 2-0.

“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan anak watan memiliki kecekalan, tekad dan kemampuan untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Syabas wira negara!” menurut hantaran Facebook rasmi Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri bagi meraikan kejayaan bersejarah tersebut.

Kejohanan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammed Taufiq Johari, yang hadir bagi menyaksikan serta memberikan sokongan secara langsung kepada perjuangan wira-wira takraw negara di gelanggang.

Antara aksi menarik yang ditonjolkan pemain Kuadran negara, Shahairil Aiman.

Pencapaian ini juga menjadi bukti kewibawaan skuad kebangsaan dalam memartabatkan sukan warisan ini di pentas dunia.

Momentum kecemerlangan ini diharapkan dapat diteruskan oleh barisan pemain dan kejurulatihan dalam memburu lebih banyak kejayaan demi lencana di dada pada masa hadapan.

Turut hadir memberikan sokongan di stadium ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol, serta Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail.

Sorakan yang tidak henti dari peminat sepak takraw negara menjadi pembakar semangat pemain untuk terus menempa kejayaan.
Kredit Foto: Facebook KBSMalaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi