Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pasangan beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 hari ini.
Majlis gilang-gemilang yang diadakan bagi meraikan kecemerlangan mutu sukan tanah air itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bagi kategori sukan para pula, atlet paralimpik berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin diumumkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, manakala atlet para renang, Lim Carmen meraih gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.
Perdana Menteri menerusi hantaran dalam laman media sosial rasminya menegaskan, penganugerahan tersebut bukan sekadar menghargai kemenangan, tetapi mengangkat pengorbanan, disiplin serta semangat juang luar biasa para atlet dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Di sebalik setiap pingat dan kejayaan, ada keringat, air mata serta pengorbanan besar yang wajar dihormati seluruh rakyat. Para atlet bukan sahaja membawa cabaran negara di gelanggang sukan, malah menjadi lambang perpaduan, ketekunan dan semangat tidak mudah mengalah.
“Dalam dunia yang sering dipenuhi perbezaan dan pertikaian, sukan menyatukan kita semua. Apabila Malaysia turun gelanggang, yang ada hanyalah satu semangat dan harapan yang dikongsi bersama-sama,” jelas beliau.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memberikan komitmen bahawa seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI, kebajikan para atlet dan agenda pembangunan sukan akan terus dipelihara dengan sebaiknya walaupun negara sedang mendepani cabaran ekonomi semasa.
Beliau menyifatkan sukan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat kerana daripada penyertaan rakyat di setiap lapisan, lahirnya kekuatan bangsa dan kecemerlangan negara.

ASN yang mula diperkenalkan sejak tahun 1966 merupakan satu bentuk pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan bagi menghargai pencapaian cemerlang para atlet, jurulatih, pegawai serta organisasi sukan yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol, serta Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Rahimi Ismail.