Diterbitkan pada 19 Mei 2026, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel yang memintas flotila kemanusiaan Gaza serta menahan lebih 100 orang aktivis antarabangsa, termasuk 16 warga Malaysia yang terlibat dalam misi aman tersebut.

Beliau menegaskan bahawa tindakan rejim berkenaan terhadap misi bantuan fizikal itu bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, malah memperlihatkan kerakusan tiada sempadan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan dan menyekat suara kemanusiaan sejagat.

Mengulas lanjut mengenai keselamatan para delegasi, YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia lantas mengambil pendirian tegas menuntut jaminan keselamatan penuh serta pembebasan segera tanpa syarat ke atas kesemua aktivis yang ditahan.

Beliau menyifatkan tindakan kejam tersebut sebagai cubaan pengecut untuk menindas sesiapa sahaja yang berani bangkit mempertahan dan membela hak rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi.

Senarai 16 rakyat Malaysia yang ditawan rejim Zionis.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar dunia tidak terus berdiam diri atau tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan undang-undang yang diamalkan oleh pihak Israel.

“Penindasan ke atas warga Palestin dan mereka yang membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera. Israel mesti berhadapan dengan keadilan antarabangsa dan dipertanggungjawabkan atas segala jenayah mereka,” tegas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kredit Foto: Facebook YAB Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi