Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) diteruskan lagi pengembaraannya ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Pada kali ini, Program Kembara MDK Peringkat Negeri Melaka diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yok Bin.

Program ini berjaya menghimpunkan penyertaan sebanyak 188 orang pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, iaitu sebanyak 96 orang peserta MDK Dewan Pelajar dan 92 orang peserta MDK Dewan Siswa dari 46 buah sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Melaka.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka ini memberikan penekanan terhadap penggunaan majalah terbitan DBP, khususnya majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa sebagai sumber ilmu yang menyokong pembelajaran bahasa Melayu, serta meningkatkan budaya membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.

Guru pengiring bergambar bersama-sama dengan penceramah bengkel MDK untuk Guru, iaitu Puan Norhayati Daud.

Pada masa yang sama, sebanyak 46 orang guru pengiring turut menyertai Bengkel MDK untuk Guru yang dikendalikan oleh Puan Norhayati Daud bagi memperkasakan penggunaan majalah sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) di dalam kelas.

Peserta MDK Dewan Pelajar sewaktu melaksanakan aktiviti.

Pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan bagi menarik minat peserta terhadap keindahan bahasa. Antara aktiviti yang dilaksanakan untuk pelajar sekolah rendah termasuklah menghasilkan ulasan buku, teka simpulan bahasa dan kuiz menara belon.

Peserta MDK Dewan Siswa sedang membentangkan puisi yang dihasilkan oleh kumpulan masing-masing.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, mereka telah melaksanakan aktiviti penulisan puisi mengikut tema, teka bahasa, sinonim dan antonim, serta kuiz menara belon.

Kepelbagaian aktiviti ini membuktikan bahawa pembelajaran Bahasa Melayu boleh dilaksanakan dalam suasana yang menyeronokkan dan kreatif.

Selain itu, pengisian Program Kembara MDK ini juga selaras dengan keperluan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Tasnim Sofea Abdullah Sani yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pulau Sebang.

Peserta MDK Dewan Siswa, Tasnim Sofea Abdullah Sani, 14 tahun dari SMJK Pulau Sebang menyatakan bahawa program ini dapat membantu pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul, sekali gus mengurangkan penggunaan bahasa rojak yang semakin menular dalam kalangan remaja.

“Kalau ada rezeki, saya ingin menghantar puisi kepada majalah Dewan Siswa kerana Program Kembara MDK ini telah membuka mata saya untuk meluahkan perasaan melalui karya kreatif,” tambah beliau.

Muhammad Aniq Irfan Nor Hisyam (tengah) bersama-sama dengan rakannya.

Muhammad Aniq Irfan Nor Hisyam, 15 tahun dari SMK Agama Sultan Muhammad menyifatkan program ini sebagai ejen yang dapat meningkatkan kemahiran bahasa Melayunya. Muhammad Aniq kini lebih bersemangat untuk menghasilkan karya kreatif seperti cerpen dan puisi setelah mendapat pendedahan melalui Program Kembara MDK pada hari ini.

Turut diadakan, Program Minda Kreatif Sasterawan Negara bersama-sama dengan YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari dan Sumbangan Buku Budi MADANI kepada SMK Yok Bin yang merupakan Sekolah Angkat DBP.

Majlis penyerahan Sumbangan Buku Budi MADANI kepada SMK Yok Bin yang merupakan Sekolah Angkat DBP.

Program ini telah dilaksanakan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama JPN Melaka, Bahagian Majalah, Akademi DBP, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, serta Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja.

Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Pendidikan, JPN Melaka, YBrs. Encik Yusri Suib; serta Pengetua SMK Yok Bin, YBrs. Encik Hen Li Seong.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi