Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 19:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yok Bin secara rasmi dipilih sebagai Sekolah Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi tahun 2026 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar berbangsa Cina.

Pengumuman tersebut disampaikan ketika Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di SMK Yok Bin, hari ini, sekali gus menjadi langkah signifikan untuk memperluas usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan di sekolah pelbagai aliran. 

Menerusi inisiatif Sekolah Angkat DBP itu, pelbagai program bahasa, sastera dan penerbitan akan dilaksanakan secara berfokus melibatkan warga sekolah. 

Antara skop utama yang diberikan perhatian termasuklah memperkasakan program akademik dan bimbingan murid, memperkukuh latihan dan pembangunan guru, serta membangunkan sahsiah dan kemahiran murid secara menyeluruh.

Di samping itu, usaha memperkukuh literasi dan membina karakter murid turut menjadi teras utama pelaksanaan program ini bagi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja menguasai bahasa Melayu dengan baik, malah mempunyai nilai jati diri dan keperibadian yang tinggi.

Sebagai simbolik pelaksanaan program tersebut, turut diadakan penyerahan sumbangan Buku Budi MADANI Sekolah Angkat DBP kepada pihak sekolah bagi menyokong usaha memperluas budaya membaca dan memperkukuh akses bahan bacaan berkualiti dalam kalangan murid. 

Simbolik penyerahan sumbangan Buku Budi MADANI kepada SMK Yok Bin yang merupakan Sekolah Angkat DBP.

Program Kembara MDK itu turut dimeriahkan dengan pelibatan Sasterawan Negara (SN), YBrs. Dato’ Dr. Rahman Shaari menerusi pengisian Program Minda Kreatif yang memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan tokoh sastera negara. 

Sasterawan Negara, YBrs. Dato’ Dr. Rahman Shaari sedang menyampaikan perkongsiannya ketika Program Minda Kreatif bersama-sama dengan pelajar di SMK Yok Bin.

Sesi tersebut menjadi platform untuk memupuk minat pelajar terhadap dunia penulisan kreatif dan sastera Melayu, di samping membuka ruang kepada mereka untuk memahami proses penghasilan karya secara lebih dekat. 

Selain itu, pelibatan tokoh sastera dalam program ini juga mampu membentuk modal insan yang syumul melalui penerapan nilai MADANI seperti keyakinan diri, pemikiran kritis dan perasaan hormat dalam kalangan pelajar. 

Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, selain menyemarakkan budaya membaca, serta meningkatkan bakat sastera dalam kalangan generasi muda.

Turut hadir ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Pengetua SMK Yok Bin, YBrs. Encik Hen Li Seong; Sasterawan Negara (SN), YBrs. Dato’ Dr. Rahman Shaari; dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) YBrs. Encik Yusri Suib.  

Kredit Foto: Firdauz Abd Radzak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi