Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Program TEKAD Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 Pemimpin Murid Tahun 2026 menjadi landasan penting dalam usaha memperkasakan pelibatan aktif generasi muda dalam ekosistem pendidikan negara.
Sesi dialog TEKAD yang berlangsung di Maktab Sultan Abu Bakar semalam telah menghimpunkan sebanyak 500 orang pemimpin murid bagi memberikan ruang kepada mereka menyuarakan pandangan secara langsung.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menyatakan bahawa penganjuran program ini merupakan cerminan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengangkat suara anak muda sebagai satu daripada pemegang taruh utama dalam sistem pendidikan.

“KPM menegaskan bahawa pendidikan adalah milik seluruh segmen masyarakat. Oleh itu, penyediaan ruang yang inklusif untuk mendengar harapan serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh murid amat penting bagi memastikan setiap dasar yang dirangka memenuhi keperluan sebenar pada peringkat akar umbi,” ujar YB Menteri Pendidikan ketika berucap dalam sesi dialog tersebut.
Selain mendengar aspirasi, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan penyertaan murid dalam wacana intelektual yang mampu mencambahkan fikiran, sekali gus membina keyakinan dan jati diri kepimpinan mereka.

Segala inisiatif yang dilaksanakan pada hari ini dianggap sebagai penentu kepada kecemerlangan masa hadapan pendidikan negara bagi tempoh sedekad akan datang.