Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan warga pendidik, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) memperkenalkan inisiatif kemasukan percuma ke sembilan lokasi pelancongan terpilih sempena Sambutan Hari Guru 2026.

Menerusi insentif di bawah Belanjawan 2026, semua guru di negeri Melaka berpeluang memilih satu dari lokasi tumpuan utama, antaranya termasuklah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka serta Muzium Istana Kesultanan Melaka.

Selain itu, inisiatif ini turut memberikan manfaat kepada ahli keluarga terdekat guru tersebut, iaitu suami atau isteri serta anak-anak, yang akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus bagi harga tiket masuk.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk menghargai warga pendidik, malah menjadi sebahagian daripada usaha mempromosikan produk pelancongan negeri di bawah kempen “Mana Lagi? Melaka Ler…”.

Penebusan tiket percuma ini boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari, bermula dari 16 Mei hingga 14 Jun 2026.

Para guru hanya perlu mengemukakan kad ID pekerja yang sah semasa melakukan penebusan di kaunter lokasi yang dipilih.

Antara lokasi lain yang terlibat termasuklah Muzium Hang Tuah, Ghost Museum Melaka, Bayou Lagoon Waterpark, Magic Art 3D Museum, dan Balai Cerap Al-Khawarizmi. Maklumat lanjut mengenai inisiatif boleh terus menghubungi Tourism Melaka di talian 06-232 8402.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi