Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  melancarkan Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) bagi tahun 2026 di Johor Bahru pada semalam.

Inisiatif ini menyasarkan sebanyak 60,000 orang pelajar sekolah daripada golongan B40 untuk memperoleh lesen motosikal kelas B2 secara percuma, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM18.5 juta.

Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke berkata, program ini merupakan langkah keprihatinan kerajaan terhadap isu pelajar menunggang motosikal tanpa lesen, khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke bersama-sama YB Fadhlina Sidek dan wakil JPJ dalam sesi pelancaran Program MyB2S di Johor Bahru.

Selain meringankan beban kewangan ibu bapa, program ini bertujuan melengkapkan pelajar dengan tahap kompetensi dan pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih tinggi.

“Kerajaan akan menanggung kos perbelanjaan yang tinggi bagi setiap pelajar terlibat. Jika dibuat sendiri di luar program ini, kos dan tempoh masa untuk mendapatkan lesen adalah lebih tinggi dan perlu ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapa,” katanya.

Berdasarkan fakta, sebanyak 4,500 kematian bersamaan 65 peratus akibat nahas jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoritinya berumur di bawah 30 tahun.

Kebanyakan nahas berlaku pada waktu puncak ketika perjalanan pergi dan pulang dari sekolah atau tempat kerja.

Program MyB2S ini dijangka dapat mengukuhkan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda, sekali gus melahirkan penunggang yang lebih berdisiplin dan berhemah.

YB Anthony Loke dan YB Fadhlina Sidek beramah mesra dengan pelajar yang hadir memeriahkan majlis.

Bagi tahun ini, fasa awal akan menyaksikan sasaran kira-kira 30,000 orang peserta menerima manfaat menerusi peruntukan RM10.5 juta.

Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan dan syarat kelayakan, orang awam boleh melayari pautan https://shorturl.at/Ezinm.

Kredit Foto: Facebook YB Anthony Loke
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi