Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun 2026 meningkat kepada RM150 juta bagi memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi serta memperkasakan kesejahteraan komuniti India di negara ini.

Pengumuman tersebut dibuat semasa beliau menyempurnakan Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama-sama Mahasiswa India Malaysia yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Perdana Menteri menyerahkan bantuan peranti dan kemasukan IPT kepada mahasiswa dan mahasiswi yang layak.

Program tersebut turut menyaksikan perasmian serta penyampaian bantuan peranti baharu yang memanfaatkan sebanyak 3,000 mahasiswa India di seluruh negara sebagai usaha memperluas akses pendidikan digital secara inklusif, adil dan saksama.

Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyampaikan cek cura Bantuan Kemasukan IPT Tahun 2025 kepada sebanyak 4,165 orang pelajar daripada pusat bertauliah, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM 8.347 juta.

Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh aspek pendidikan, kemahiran, keusahawanan, dan kebajikan sosial demi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi merupakan pelaburan strategik negara bagi memastikan tiada anak muda tercicir daripada peluang pendidikan dan terus berdaya saing.

Perdana Menteri bersama-sama Menteri Sumber Manusia semasa menziarahi reruai-reruai yang disediakan di sekitar majlis semalam.

YAB Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada MITRA yang kini diterajui oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, serta Ketua Pengarah MITRA, YBrs. Encik Raveendran Nair atas dedikasi mereka melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat yang memberikan impak nyata.

Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta tersebut akan terus dimanfaatkan bagi memperkukuh agenda pendidikan dan pembangunan modal insan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek keadilan sosial dan keseimbangan pembangunan.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi