Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeberang Takir – Pendedahan kepada karya kreatif serta usaha memperkukuh budaya membaca dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda terus diperkasakan secara berterusan menerusi Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, hari ini.
Program MDK ini dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Zon Timur yang menghimpunkan lebih daripada 150 orang pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, serta 19 orang guru dari pelbagai sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu.
Program Kembara MDK ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada peluang penerbitan karya kreatif dalam majalah terbitan DBP, khususnya Dewan Siswa dan Dewan Pelajar, sekali gus mencungkil bakat penulisan, serta menggalakkan pelajar agar lebih aktif berkarya dalam bahasa Melayu.
Pengisian Program Kembara MDK ini dijalankan secara menyeluruh dengan pelibatan pelajar dan guru yang merangkumi tiga komponen utama, iaitu MDK Dewan Pelajar, MDK Dewan Siswa dan Bengkel MDK untuk Guru bagi mencipta pengalaman pembelajaran yang aktif dan kreatif.
MDK Dewan Siswa melibatkan penyertaan sebanyak 76 orang pelajar sekolah menengah dikendalikan oleh editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman yang telah memperkenalkan peserta kepada majalah Dewan Siswa yang sarat dengan kupasan isu semasa dan karya kreatif.

Menerusi program ini, peserta didedahkan dengan pelbagai pengetahuan baharu, termasuk peluang penerbitan karya dalam majalah Dewan Siswa, cara mencipta puisi, latihan ilmu kebahasaan seperti simpulan bahasa, peribahasa dan kuiz menara belon yang melatih kerjasama antara kumpulan.

Pengisian ini selari dengan keperluan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam aspek penulisan dan pemahaman, sekali gus membantu pelajar mengukuhkan penguasaan bahasa, serta meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan analitikal. Aktiviti mencipta puisi yang dijalankan juga dapat mencungkil minat dan bakat peserta untuk menghantar karya bagi penerbitan dalam majalah DBP, terutamanya dalam majalah Dewan Siswa.
Sementera itu, MDK Dewan Pelajar yang melibatkan penyertaan sebanyak 105 orang pelajar sekolah rendah telah menarik minat pelajar untuk menghantar karya kreatif kepada Bahagian Majalah, DBP untuk diterbitkan dalam majalah bulanan.
Pelbagai aktiviti telah dilakukan semasa MDK Dewan Pelajar seperti kuiz ilmu kebahasaan seperti simpulan bahasa dan peribahasa, mengeluarkan kata terbitan daripada cerpen yang terdapat dalam majalah, serta kuiz menara belon.


Aktiviti yang dikendalikan oleh editor majalah Dewan Pelajar, Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan sekali gus membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Melayu melalui pendekatan santai dan kreatif.
Pada masa yang sama, Bengkel MDK untuk Guru telah menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Nik Nor Ahmarizam Nik Mohamed@Nik Ahmad sebagai penceramah bengkel yang memberikan pendedahan tentang penggunaan majalah sebagai bahan bantu mengajar kepada 19 orang guru yang terlibat, sekali gus membantu memperkasakan kaedah pengajaran bahasa Melayu secara lebih kreatif, interaktif dan berkesan di dalam kelas.

Memetik ucapan alu-aluan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan dan Penutupan Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Ke-70 Peringkat Zon Timur:
Pelaksanaan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) yang menginginkan murid terlibat dalam proses pembudayaan ilmu termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.
Beliau turut menyatakan bahawa program yang dilaksanakan ini telah membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas selain memberikan manfaat kepada ribuan pelajar menerusi perkongsian teknik dan strategi penggunaan majalah secara berkesan oleh editor DBP.
Tambah beliau lagi, Program Kembara MDK juga berupaya menggalakkan murid untuk berkarya menerusi aktiviti berkumpulan dan simulasi yang dijalankan, malah peserta turut digalakkan menghantar karya kepada DBP untuk disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.