Diterbitkan pada 9 Mei 2026, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Takir – Keunikan warisan tradisional yang dipadukan dengan semangat cinta akan ilmu ditonjolkan menerusi program Gatih Beca dan Penyerahan Naskhah Budi MADANI  dalam program Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 Peringkat Zon Timur, di Seberang Takir, Terengganu, hari ini.

Gatih Beca yang merupakan antara pengisian dalam program Kembara Lestari ini menampilkan tujuh buah beca berhias yang dikayuh oleh masyarakat tempatan bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir.

Program ini merupakan simbolik terhadap mesej penghayatan budaya membaca, serta usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pendekatan yang lebih santai, iaitu dekat dengan masyarakat dan bersifat inklusif, di samping menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti berteraskan ilmu dan budaya. 

Majlis Penyerahan Naskhah Budi MADANI berlangsung di Dewan Terbuka SK Seberang Takir dan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin.

Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin sedang memberikan Naskhah Budi MADANI kepada wakil penerima yang terlibat. 

Naskhah Budi MADANI merupakan sumbangan bahan bacaan terbitan DBP yang merangkumi buku bahasa, sastera, ilmiah dan kenegaraan sebagai usaha memperluas akses masyarakat terhadap bahan bacaan bermutu dalam bahasa Melayu, serta menyemai budaya ilmu dalam komuniti.

Sebanyak 10 penerima yang menerima sumbangan naskhah tersebut terdiri daripada sekolah dan institusi komuniti sekitar Seberang Takir, Terengganu. Antaranya termasuklah SK Bukit Tok Beng, SK Teluk Ketapang, SK Kompleks Seberang Takir, SK Seberang Takir, SMK Ibrahim Fikri, SMK Kompleks Seberang Takir. Selain itu, terdapat juga beberapa buah masjid terpilih yang menerima sumbangan tersebut, antaranya termasuklah Masjid Kampung Banggol Pauh, Masjid al-Abrar, Masjid al-Ansar dan Masjid Kampung Batin.

Program ini mencerminkan usaha berterusan DBP dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan kreatif dan berteraskan budaya tempatan, sekali gus mengangkat kepentingan bahasa, pembacaan ilmu dalam kehidupan masyarakat.

Terdahulu, telah diadakan aktiviti Senam Seni kepada para tetamu yang hadir sebagai aktiviti pemanasan badan untuk meningkatkan semangat serta mewujudkan suasana yang ceria sebelum melaksanakan aktiviti yang seterusnya.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi