Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para pelajar memanfaatkan kepesatan dunia digital cara optimum bagi memperkasakan pembelajaran kendiri serta pembangunan potensi diri selaras dengan arus pemodenan.
Baginda bertitah, kemudahan teknologi seperti Sudut Digital harus digunakan sepenuhnya sebagai platform untuk menguasai kemahiran ICT dan merangsang daya kreativiti, namun haruslah berlandaskan etika yang tinggi.
“Gunakan teknologi dengan adab dan integriti. Binalah sahsiah yang tinggi dengan sentiasa menghormati guru, menjaga tutur kata termasuk di media sosial serta menjauhi penyebaran maklumat palsu. Jadilah pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah juga tinggi nilai akhlaknya,” titah baginda.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga menekankan slogan “SMK Derma Must Be Number One” terus dijadikan azam oleh seluruh warga sekolah untuk mencapai kecemerlangan menyeluruh dalam bidang akademik, inovasi, kepimpinan dan sahsiah.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat SMK Derma di sini, baru-baru ini.
Berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Pengetua SMK Derma, Puan Saniyah Abdullah.

Sebelum ini, Pengetua SMK Derma, Puan Saniyah Abdullah dalam ucapannya memaklumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini terus mengekalkan SMK Derma sebagai sekolah harian terbaik di negeri Perlis, walaupun mencatatkan sedikit perubahan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 2.50 berbanding dengan 2.01 pada tahun sebelumnya.
Dalam bidang koakademik, SMK Derma membuktikan kehebatan penguasaan bahasa apabila muncul johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan serta menjuarai Pertandingan Bicara Berirama dengan turut meraih anugerah Konduktor Terbaik. Kecemerlangan ini diteruskan menerusi kemenangan sebagai johan bagi Pertandingan Scrabble peringkat negeri Perlis serta kejayaan merangkul gelaran juara dalam Pertandingan Digital Storytelling Animation peringkat kebangsaan 2025.
Pencapaian dalam bidang inovasi dan teknologi turut mengharumkan nama sekolah apabila pasukan robotik SMK Derma dinobatkan sebagai juara keseluruhan Junior League dalam RoboCup Malaysia Open 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Selain memenangi kategori Junior League Rescue Maze dan Inspiring Innovation Poster Award, para pelajar turut meraih pelbagai pingat emas dalam siri pertandingan inovasi antarabangsa yang berprestij seperti eReka 2025, X-Cipta 2025, I3 Innovation Competition, 3rd International Innovation & Invention Competition serta Borneo International Innovation Creativity Competition 2025.
Sektor kokurikulum dan sukan juga tidak kurang hebatnya apabila para pelajar berjaya meraih johan dalam acara berpasukan kejohanan memanah MSSM 2025. Momentum kemenangan tersebut diteruskan dengan kejayaan merangkul gelaran johan dalam Bravo Invitation Taekwondo Championship 2025 serta johan acara lompat tali dalam Karnival Sukan Perpaduan Negeri Perlis, sekali gus mencerminkan keseimbangan pembangunan modal insan sekolah tersebut dalam aspek fizikal dan ketangkasan.
Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis itu melibatkan kehadiran sebanyak 481 orang pelajar tingkatan satu hingga pelajar tingkatan tiga.
Sempena majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Sumber Az-Zahrawi yang dilengkapi kemudahan moden seperti capaian WiFi, tablet dan komputer riba serta menyediakan lebih 10,000 ribu naskhah buku, selain berfungsi sebagai hab penganjuran bengkel teknologi tinggi seperti percetakan 3D dan Kecerdasan Buatan (AI).