Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur– Pendekatan diplomatik menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia dalam menangani isu pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan dengan kelulusan eksport pertahanan.
Berdasarkan satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin,beliau menyatakan bahawa kerajaan akan menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah sewajarnya demi memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan mengambil maklum berkaitan dengan laporan yang disiarkan melalui laman web Kementerian Pertahanan berhubung isu pembekalan NSM yang melibatkan syarikat Kongsberg Defence and Aerospace AS (KDA), Norway.
“Kementerian sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile untuk melengkapkan keupayaan kapal Littoral Combat Ship TLDM,” ujar beliau menerusi kenyataan media semalam.
Menurut beliau, kementerian turut mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberikan kesan kepada pelaksanaan kontrak tersebut.
Langkah diplomatik yang diambil mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyelesaikan isu pertahanan secara profesional dan berhemah tanpa menjejaskan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan turut menyatakan bahawa kesiapsiagaan serta keperluan strategik pertahanan negara akan terus diberi perhatian walaupun berhadapan dengan cabaran dalam pelaksanaan kontrak pembekalan aset pertahanan.
Isu pembekalan NSM ini mendapat perhatian kerana sistem peluru berpandu berkenaan merupakan antara komponen penting dalam memperkukuh keupayaan tempur kapal LCS TLDM yang sedang dibangunkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Malaysia dan Norway sebelum ini menjalinkan hubungan baik dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, perdagangan dan kerjasama teknologi, sekali gus membuka ruang kepada penyelesaian isu tersebut melalui rundingan diplomatik yang konstruktif.
Tambah beliau, kementerian akan memastikan setiap tindakan susulan dibuat secara teliti berpandukan kepentingan strategik negara, termasuk menilai implikasi terhadap pembangunan keupayaan armada TLDM pada masa hadapan.