Diterbitkan pada 6 Mei 2026, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) Peringkat Negeri Kedah terus memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar, sekali gus memberikan pendedahan akademik yang bermakna melalui penggunaan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK ini telah disempurnakan oleh Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, Encik Yusof Ismail, di Dewan Perdana, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Sungai Petani, Kedah pada petang semalam.

“Program seumpama ini bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu. Saya berharap agar mereka menjadikan pengalaman mengikuti program MDK di sini untuk kembali ke UiTM sebagai mahasiswa pada masa hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Abdul Rahim Mat.

Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau turut berkongsi kisah peribadinya sebagai anak jati Kampung Bujang untuk memberikan motivasi kepada para pelajar. Menurutnya, amalan membaca ialah kunci utama yang mampu mengubah nasib seseorang walaupun dilahirkan daripada keluarga yang serba kekurangan.

“Jadikanlah program yang menggalakkan pembacaan ini sebagai batu loncatan untuk meningkatkan tahap intelektual dan mencapai kejayaan,” ujar beliau.

Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda, Encik Yusof Ismail semasa menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Abdul Rahim Mat dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK Peringkat Negeri Kedah 2026.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal menegaskan bahawa majalah terbitan DBP seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa memainkan peranan yang amat signifikan sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Majalah-majalah ini bukan sekadar bahan bacaan santai, tetapi merupakan wadah ilmu yang sarat dengan pelbagai kandungan bermanfaat daripada penulisan kreatif dan rencana ilmiah sehinggalah kepada panduan bahasa yang tepat dan berwibawa. Penggunaannya di dalam bilik darjah dapat membantu memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar secara lebih efektif,” jelasnya.

Menurut beliau, dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh media sosial dan ledakan maklumat, keupayaan untuk berbahasa dengan baik dan berkesan pada masa ini menjadi satu keperluan, bukan pilihan semata-mata.

“Usaha memperkenalkan bahan bacaan bermutu tinggi perlu dipergiat agar generasi muda tidak terpisah daripada akar bahasa dan budaya bangsa,” katanya.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Program ini turut memberikan tumpuan khusus kepada penggunaan majalah mengikut kesesuaian peringkat, iaitu Dewan Pelajar bagi sekolah rendah, Dewan Siswa bagi sekolah menengah, serta Pelita Bahasa sebagai alat bantu pembelajaran untuk guru.

“Majalah DBP turut membuka peluang yang luas kepada pelajar untuk berkarya. Saya berharap agar para pelajar daripada pelbagai kaum dan latar belakang dapat merebut peluang ini untuk menghasilkan karya sendiri. Karya yang terpilih bukan sahaja akan disiarkan, malah bakal menerima honorarium sebagai galakan,” tambah beliau.

Selain itu, program ini menampilkan sidang editor dari Bahagian Majalah DBP dan Munsyi Dewan (Bahasa) sebagai penceramah untuk memberikan taklimat tentang ruangan yang boleh dijadikan sebagai bahan sokongan pembelajaran. Aktiviti berbahasa seperti teka peribahasa dan simpulan bahasa, memilih ejaan yang betul serta kuiz turut dilaksanakan.

Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Siti Norsuhaila Samsuddin sedang menyampaikan taklimat tentang majalah Dewan Siswa kepada pelajar sekolah menengah.

Penganjuran Program Kembara MDK Peringkat Negeri Kedah ini berjaya menghimpunkan  sebanyak 102 orang pelajar sekolah rendah daripada 27 buah sekolah dan 87 orang pelajar  sekolah menengah daripada 24 buah sekolah di sekitar daerah Kedah.

Sementara itu, pelaksanaan Bengkel MDK untuk Guru pula melibatkan penyertaan  sebanyak 48 orang guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar daerah Merbok. Bengkel ini dilaksanakan untuk melatih dan membimbing para guru supaya menggunakan majalah terbitan DBP secara kreatif sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang interaktif di dalam bilik darjah.

Bengkel MDK untuk Guru yang dilaksanakan untuk membimbing guru menggunakan majalah terbitan DBP di dalam kelas dan menggalakkan pelajar berkarya.

Program Kembara MDK Negeri Kedah ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Majalah DBP, DBP Wilayah Utara dan Akademi DBP dengan kerjasama UiTM Cawangan Kedah dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Yang turut hadir dalam Majlis Perasmian Pentupan Program Kembara MDK Peringkat Negeri Kedah ialah Ketua Unit Kepimpinan Pelajar, Dr. Ahmad Afif Ahmaroji yang mewakili Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal pelajar (UiTM), Dr. Azrina Mohd Yusof; Timbalan Ketua Editor Majalah, Puan Siti Norsuhaila Samsuddin; serta Penolong Pengarah JPN Kedah, Encik Wan Ahmad Anuar Sukri Wan Yusoff.

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi