Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, semasa berkenan merasmikan Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini, malam tadi.


Kangar
– Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan keyakinan bahawa Perlis mampu muncul sebagai “Dubai Kedua”, iaitu sebuah pintu gerbang terbuka kepada negara-negara ASEAN dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Baginda bertitah, kedudukan strategik Perlis di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand meletakkan negeri itu pada landasan tepat untuk berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pertemuan ekonomi serantau.

Jika Dubai mampu dikenali di persada dunia sebagai pintu gerbang terbuka ke Timur Tengah, maka saya yakin negeri Perlis juga mampu muncul sebagai sebuah “Dubai Kedua“, titah baginda.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan bahawa sasaran besar ini mampu dicapai melalui sokongan padu daripada pelbagai pihak berkepentingan. Antara tonggak utama yang disebut baginda termasuklah iltizam padu Kerajaan Negeri Perlis, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan kekuatan gerakan koperasi.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini, malam tadi.

Menurut baginda, penganjuran nat tersebut bukan sekadar wacana pertukaran idea, malah berjaya menarik penyertaan dari Thailand, Indonesia dan China, sekali gus mengangkat imej Perlis pada peringkat global.

Ini satu pengiktirafan besar terhadap potensi negeri ini, dan saya amat menghargainya,” titah baginda merujuk kepada keyakinan negara luar terhadap jaringan ekonomi koperasi di Perlis.

Turut berangkat sama ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Puteri Kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Abu Bakar Hamzah dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi