Diterbitkan pada 3 Mei 2026, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam — Program Buli Busters hasil kolaborasi strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor melalui Unit Pengurusan Non-Residen dengan Masjid At-Taufiqiah telah berjaya dianjurkan dengan jayanya, semalam.

Pengisian dalam Program Buli Buster ialah dengan memberikan tumpuan kepada aspek kesedaran dan pencegahan gejala buli melalui pendekatan pendidikan yang interaktif dan bersesuaian dengan peringkat umur peserta.

Dalam program tersebut, seramai 61 orang peserta terdiri daripada kanak-kanak dan remaja telah menyertai program ini. Penyertaan ini mencerminkan kesedaran ibu bapa dan komuniti terhadap kepentingan pendidikan awal berkaitan isu buli yang semakin membimbangkan.

Antara pengisian utama ialah ceramah bertajuk “Masjid Kawasan Selamat” oleh Imam Muda Aran yang menekankan peranan institusi masjid sebagai ruang selamat dalam membentuk nilai murni, empati dan hormat-menghormati dalam kalangan remaja.

Selain itu, program turut menampilkan perkongsian oleh Pensyarah dan Psikologis Klinikal dari Jabatan Psikiatri Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, Dr. Sakinah Idris menerusi ceramah bertajuk “Kesan Buli: Peranan Saya”. Perkongsian ini memberi pendedahan mengenai impak psikologi dan sosial akibat buli serta peranan individu dalam mencegah dan menangani situasi tersebut.

Terdahulu, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor. Turut hadir ialah Nazir Masjid, Dr. Masrur Mohd. Khir, Imam 1 serta Ahli Jawatankuasa Masjid yang sentiasa komited dalam pembangunan sahsiah komuniti setempat.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi