Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Perlis– Agrobank terus memperkukuh komitmen dalam memperkasakan pendidikan digital melalui penyaluran sumbangan bernilai RM161,000 di bawah inisiatif Pre-Google for Education Reference Institution (Pre-GRI) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis, pada hari ini.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan berimpak tinggi tersebut bersempena dengan Majlis Perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.
Turut berangkat mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Puteri, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh kepimpinan tertinggi Agrobank yang diketuai oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Sumbangan ini bertujuan untuk menyediakan ekosistem pendidikan yang komprehensif bagi membina kemahiran masa hadapan para pelajar.
Intipati sumbangan merangkumi, infrastruktur digital dengan menaik taraf kemudahan teknologi sekolah, peranti pembelajaran yang memberikan akses kepada alat pembelajaran interaktif dan literasi teknologi yang memperkasakan potensi diri pelajar agar lebih yakin bersaing dalam persekitaran pendidikan moden.
Selain agenda pendidikan, program tersebut turut diserikan dengan Aktiviti Kayuh Perahu Panjang Agrobank yang diketuai sendiri oleh baginda berdua.
Acara bermula dan berakhir di Jeti Kastam Kuala Perlis dengan penyertaan kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada ketua jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.
Program tersebut turut disekalikan dengan inisiatif MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengukuhkan kesejahteraan komuniti setempat.
Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu:
1. Saleha Ali (82): Taman Bukit Kubu.
2. Habsah Ahmad (69): Kampung Tanah Baru.
3. Rohani Isa (56): Kampung Bukit Tok Po.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil; Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan, Fairoshawal Idrus; serta barisan pengurusan kanan Agrobank.