Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa segala isu yang berhubung dengan perkembangan di Negeri Sembilan telah diselesaikan secara tertib dan melalui semangat muafakat.
Kenyataan ini menyusul selepas satu pertemuan rasmi antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bagi membincangkan kestabilan pentadbiran negeri serta Institusi Diraja.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh terhadap titah DYMM Tuanku Muhriz agar YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan YAB Aminuddin Harun, dengan menyifatkan beliau mempunyai pengalaman luas dan rekod perkhidmatan yang cemerlang.
Beliau percaya di bawah pentadbiran sedia ada, Negeri Sembilan akan terus berkembang dan menjalankan fungsi tadbir urus dengan sempurna tanpa gangguan yang boleh menjejaskan kemajuan.
Selain itu, mengenai isu yang melibatkan institusi Undang (Ketua Adat), Perdana Menteri menegaskan bahawa perkara tersebut sedang dikendalikan mengikut saluran undang-undang yang sah dan kebijaksanaan institusi itu sendiri.
“Kerajaan Persekutuan memberikan jaminan akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri tersebut tidak terjejas oleh kemelut yang berlaku,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri menyeru rakyat warga Negeri Sembilan agar terus menjaga adab dan ketertiban ketika membincangkan hal ehwal Institusi Diraja serta undang-undang negeri. Beliau mengingatkan semua pihak supaya sentiasa memelihara keluhuran institusi berkenaan demi keharmonian sosial yang telah lama terbina.
Perdana Menteri memetik pepatah adat yang menekankan kepentingan kebenaran dan muafakat:
Kemenakan beraja kemamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri.
Pesanan ini membawa mesej mendalam agar semua pihak kembali kepada prinsip keadilan dan rundingan dalam mendepani sebarang cabaran masa hadapan.