Diterbitkan pada 28 April 2026, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kualiti kepimpinan guru merupakan antara faktor yang perlu diberikan penekanan kepada semua warga sekolah untuk menentukan keupayaan sesebuah institusi berfungsi dengan cemerlang.

Perkara ini disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi bulan April 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini.

“Pimpinan tertinggi sekolah memegang mandat besar dalam memastikan aspek pengurusan, kebajikan dan kecemerlangan akademik berjalan seiring dengan pembangunan sahsiah murid.”

“Inuilah yang kita mahu apabila masyarakat bercakap tentang kepimpinan sekolah kita yang berjaya menukar ekosistem pimpinan sekolah yang berjaya melakukan reformasi-reformasi kecil dalam sekolah, tetapi dibicarakan oleh masyarakat di luar kerana keberkesanannya itu dirasai oleh masyarakat,” tambah beliau lagi.

Sebagai langkah strategik dalam memperkasakan pimpinan sekolah, KPM memperkenalkan laluan baharu untuk pelantikan Pengetua dan Guru Besar dengan mengiktiraf pengalaman Guru Penolong Kanan.

“Inisiatif ini membolehkan calon yang berkelayakan dilantik tanpa perlu melalui kursus NPQEL yang panjang, sekali gus memastikan kesinambungan kepimpinan yang kompeten di sekolah,” jelas YB Fadhlina Sidek berkaitan dengan perkara tersebut.

Selain pengurusan pimpinan, YB Fadhlina Sidek turut memberikan tumpuan kepada pembentukan karakter murid melalui penubuhan Majlis Nuqaba.

Majlis yang terdiri daripada tokoh pengetua berpengalaman ini ditugaskan untuk memacu reformasi sahsiah berasaskan Pendidikan Al-Hikmah dan memperkukuh pelaksanaan usrah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) serta Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

YB Menteri Pendidikan menyerahkan watikah pelantikan kepada salah seorang tokoh pengetua SMKA/SBP sebagai Majlis Penasihat Nuqaba’

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan usrah harus bersifat membimbing dan mendengar suara murid, bukannya sekadar menghukum.

Dalam majlis yang sama, peranan Jemaah Nazir turut diangkat sebagai peneraju penting dalam menjamin kualiti dan integriti pendidikan di lapangan.

Melalui proses penaziran yang telus, KPM dapat mengenal pasti isu sebenar di sekolah dan melaksanakan intervensi tepat, yang terbukti telah membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia.

“Kita harus juga akui bahawa kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh KPM pastinya melalui keupayaan guru-guru yang menerusi tradisi keilmuan ini dengan sangat baik dan juga memahami pelaksanaan mandat dan amanah dengan cukup baik,” ujar beliau.

Selain itu, opsyen Bahasa Melayu dalam kalangan pemohon Institut Pengajian Guru (IPG) telah melihat pertambahan yang positif kepada perkembangan guru-guru bahasa di institusi bawah KPM.

“Mereka (penuntut IPG) akan keluar bukan sebagai guru Bahasa Melayu sahaja, tetapi juga sebagai Munsyi Bahasa Melayu. Hal ini merupakan kekuatan yang sangat luar biasa daripada guru-guru opsyen Bahasa Melayu sedia ada,” jelas beliau.

Tambahnya “Kita perlu sentiasa ingat bahawa munsyi bahasa merupakan tokoh bahasa, pakar rujuk, serta nara sumber dalam masyarakat.”

Mengakhiri amanatnya, YB Fadhlina Sidek menyeru warga pendidik untuk sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemat dan mengekalkan kesiapsiagaan minda dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Penyerahan surat penyaluran peruntukan naik taraf bilik guru dari KPM kepada sekolah terlibat

Majlis perhimpunan tersebut kemudiannya disempurnakan dengan dua acara penyerahan simbolik, iaitu Penyerahan Surat Penyaluran Peruntukan Prakarsa Menaik Taraf Bilik Guru yang bertujuan untuk meningkatkan keselesaan dan kebajikan guru bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Nuqaba SMKA melibatkan 10 tokoh pengetua yang diamanahkan untuk menjadi pakar rujuk dalam pembangunan karakter dan model akhlak murid pada peringkat sekolah agama dan SBP.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi