Diterbitkan pada 26 April 2026, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sibu – Usaha memelihara sejarah perjuangan bangsa terus diperkukuh apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Pejabat Residen Bahagian Sibu, jabatan kerajaan dan Persatuan Penggiat Sastera Sarikei menganjurkan majlis pelancaran buku Secebis Kisah Perjuangan Bangsa: Ikhlasnya Pengorbanan Indahnya Kemerdekaan karya Allahyarham Tuan Haji Hamdan Haji Marais di Grand Ballroom, Hotel Tanahmas Sibu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof. Turut hadir ialah YABhg. Datin Amar Hajah Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Dr. Annuar Haji Rapaee; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ahli Dewan Undangan Negeri N43 Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YB Dr. Haji Safiee Haji Ahmad; Ahli Parlimen Selangau YB Edwin anak Banta serta ahli keluarga Allahyarham Tuan Haji Hamdan Haji Marais.

Dalam ucapannya, YAB Datuk Amar Haji Fadillah menegaskan bahawa dokumentasi sejarah Sarawak perlu diperkasakan supaya warisan perjuangan bangsa tidak hilang ditelan zaman. Beliau berkata, usaha merekod sejarah dan asal usul masyarakat perlu terus digiatkan oleh DBP, institusi pendidikan serta persatuan budaya agar generasi muda dapat memahami perjalanan panjang pembentukan negara.

Menurut beliau, penerbitan buku tersebut perlu menjadi sumber rujukan penting yang mampu memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Beliau turut mengumumkan peruntukan untuk mencetak kira-kira 5,000 naskhah buku berkenaan bagi diedarkan ke sekolah di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

YAB Datuk Amar Haji Fadillah turut menyifatkan karya Allahyarham Tuan Haji Hamdan atau lebih dikenali sebagai Pak Den sebagai sebuah penulisan yang lahir daripada jiwa pejuang dan sarat dengan semangat patriotisme. Katanya, buku itu amat dekat di hatinya kerana turut merakamkan perjuangan bapanya, Allahyarham Tuan Haji Yusof Haji Marais, dan ibunya, Allahyarhamah Rosnah Abang Madeli yang terlibat dalam gerakan menentang penjajah British di Sarawak.

Beliau berkata, buku tersebut mengangkat kisah perjuangan masyarakat Melayu di Sarawak, khususnya di Sibu, dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa sejak era pemerintahan James Brooke hingga ke zaman kemerdekaan Malaysia. Antara tokoh awal yang diketengahkan termasuklah Petinggi Ali dan Sharif Masahor yang terkenal dengan semangat menentang penjajahan.

Selain itu, buku berkenaan turut menghuraikan asal usul masyarakat Melayu di Sibu dan peranan persatuan serta pertubuhan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat. Perjalanan sejarah itu diperluas dengan penceritaan kebangkitan gerakan yang menentang penyerahan Sarawak kepada British.

Karya tersebut juga mengangkat pengorbanan tokoh pejuang seperti Rosli Dhoby serta gerakan Rukun 13 yang menjadi simbol keberanian anak Sarawak dalam mempertahankan tanah air. Pada masa yang sama, buku itu merakamkan perjalanan pembangunan Sibu selepas kemerdekaan tanpa melupakan jasa pejuang terdahulu.

Menurut YAB Datuk Amar Haji Fadillah, generasi muda perlu memahami bahawa kemerdekaan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini diperoleh melalui pengorbanan besar generasi terdahulu. Oleh itu, sejarah perjuangan bangsa perlu terus dipelihara dan dihayati agar semangat patriotisme kekal subur dalam jiwa masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBP atas komitmen berterusan dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya tempatan melalui penerbitan karya ilmiah yang menjadi khazanah bangsa.

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi