Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar usaha memperkasakan sektor agromakanan terus dipergiat oleh jabatan dan agensi yang berkaitan menerusi pendekatan yang moden, inovatif dan berimpak tinggi.
“Usaha ini amat penting bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, khususnya golongan asnaf,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa penggunaan teknologi pertanian dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta kecekapan pengurusan ladang yang optimum.
Terdahulu, baginda mengetuai lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Perlis dalam Program Jelajah Agrofest 2026 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis bersempena dengan Perlis Agrofest 2026 di Kolam Memancing A.B.E, Bintong.
Dalam program tersebut, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan penyerahan anak ikan kepada tiga orang asnaf terpilih sebagai inisiatif memperkasakan sumber pendapatan golongan sasar.
Selain itu, penyerahan cek cura bernilai RM376,000 daripada Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bagi membiayai pelaksanaan Projek Pembinaan Sistem Pertanian Moden (Fertigasi) yang membabitkan 10 orang asnaf terpilih.
Sementara itu, di tapak utama penganjuran Perlis Agrofest 2026, Sungai Batu Pahat bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Yang Ke-84, baginda turut meluangkan masa melawat pelbagai segmen pameran dan aktiviti, termasuk Himpunan Lembu Sado Utara 5.0, Jualan Agro MADANI, serta pameran mekanisasi pertanian yang mengetengahkan teknologi moden dan inovasi terkini dalam sektor pertanian.
Keberangkatan baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, YBrs. Encik Hafizuddin Othman dan Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, YBrs. Encik Mohd Nizam Abdul Aziz.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama-sama dengan agensi yang berkaitan dalam usaha memperkasakan sektor pertanian dan kebajikan masyarakat melalui pendekatan yang inklusif serta berimpak tinggi.