Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Seorang murid lelaki yang terjatuh ke dalam sebuah telaga di sebuah sekolah di sini pagi tadi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya amat prihatin terhadap kejadian tersebut dan memberikan tumpuan penuh bagi memastikan murid tersebut menerima rawatan terbaik, selain menyalurkan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
“Pada masa ini, murid tersebut sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan kebajikan dan kesihatannya terjamin, di samping memberikan sokongan kepada keluarga,” jelas JPN Kelantan dalam kenyataan itu, hari ini.
Menurut JPN Kelantan, punca kejadian masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Sehubungan dengan itu, semua institusi pendidikan di bawah kelolaan jabatan tersebut diingatkan supaya mempertingkat pematuhan terhadap aspek keselamatan di kawasan sekolah bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
“Semua pihak pengurusan sekolah diminta untuk meneliti semula prosedur keselamatan sedia ada, khususnya melibatkan kawasan berisiko, agar keselamatan murid sentiasa terjamin,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa kejadian yang berlaku pada pagi tadi melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan di kepala selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam kira-kira 18 kaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Wakaf Bharu.