Diterbitkan pada 24 April 2026, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar para pelajar tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya tampil sebagai pencipta yang berinovasi serta berdaya saing dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0.

Baginda menyeru agar kemudahan digital yang disediakan di sekolah dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penggunaan internet dan peranti secara optimum bagi tujuan pembelajaran, penerokaan ilmu, serta penghasilan karya yang bernilai tinggi.

“Kejayaan bermula apabila pelajar berani mencuba perkara baharu dan melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk belajar dan berkembang,” titah baginda.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat berangkat menyempurnakan perasmian program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen 2026 yang berlangsung di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra, baru-baru ini.

Berangkat bersama-sama baginda ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke program yang membawa slogan “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” itu disambut oleh Pengetua sekolah, Lili Mariam Mohammad Mokhtar.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis) itu melibatkan penyertaan sebanyak 341 pelajar yang terdiri daripada 185 pelajar lelaki dan 156 pelajar perempuan.

Sebelum ini, Lili Mariam menerusi ucapannya memaklumkan bahawa SMK Tuanku Lailatul Shahreen terus mengekalkan momentum kecemerlangan sepanjang tahun 2025.

“Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah itu mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 3.19 berbanding 3.35 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan trend peningkatan konsisten selama tiga tahun berturut-turut,” jelasnya.

Kecemerlangan institusi berkenaan turut terserlah menerusi pencapaian Muhammad Hadif Imran Othman yang muncul sebagai johan peringkat negeri dalam Pertandingan Mimbar Daie.

Sementara itu, pasukan yang dianggotai Dian Durrani Izwan, Dian Farhana Muhammad Najib dan Ar Ryern Thaqief Norazman turut mengharumkan nama sekolah apabila meraih naib johan dalam pertandingan National ICT Security Discourse pada peringkat kebangsaan.

Sektor sukan juga tidak ketinggalan apabila Muhammad Afif Syafiq melakar kejayaan dalam acara lompat tali pada peringkat antarabangsa termasuk di Korea Open 2025, manakala Aqib Hazli Mohamad Zamri dinobatkan sebagai juara Kejohanan Catur MSSPs Bawah 18 Lelaki 2026.

Menyentuh aspek pendigitalan pula, sekolah ini berjaya dipilih mewakili negeri Perlis bagi Anugerah Emas Digital Utilization Award (DUTA) 2025 yang telah dinilai pada 20 April lalu. Antara kejayaan utama lain termasuklah merangkul johan peringkat negeri dalam pertandingan Digital Storytelling Animation (DSTA 2D), yang memperkukuh kedudukan sekolah sebagai institusi pendidikan yang progresif.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meninjau pameran hasil kreativiti pelajar selepas berkenan merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat SMK Tuanku Lailatul Shahreen 2026,

Pada majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  dan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil  turut berkenan merasmikan LeGaCY Hall SMK Tuanku Lailatul Shahreen. Inisiatif tersebut diwujudkan bagi memaparkan kronologi penubuhan, sorotan peristiwa penting, serta rentetan pencapaian yang menjadi simbol kebanggaan dan legasi seluruh warga sekolah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah JPN Perlis, Puan Rose Aza Che Arifin; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi