Diterbitkan pada 22 April 2026, 21:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2026 Peringkat Negeri Perlis terus menjadi wahana penting untuk memperkasakan kemahiran penulisan kreatif dalam kalangan pelajar sekolah.

Majlis Perasmian Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, YBrs. Dr. Azizah Sarkowi di Dewan Besar IPG Kampus Perlis, petang tadi.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa penguasaan ilmu melalui pembudayaan membaca merupakan kunci kepada pembentukan insan yang sejahtera.

YBrs. Dr. Azizah Sarkowi juga berkongsi pengalaman peribadinya mengenai pengaruh besar majalah terbitan DBP, misalnya Dewan Pelajar dan Dewan Siswa dalam membentuk jati diri dan kecemerlangan akademik beliau sejak bangku sekolah.

“Pada era globalisasi digital, majalah fizikal DBP masih lagi mendapat perhatian guru, selain membantu guru untuk meneroka dunia yang lebih luas, melangkaui kandungan yang terdapat dalam buku teks semata-mata,” jelas beliau.

Menurut Dr. Azizah Sarkowi lagi, program MDK ini bukan sekadar aktiviti membaca harian, malah bertujuan untuk membentuk pengukuhan jati diri para pelajar bagi menimba ilmu pengetahuan.

“Menerusi pembacaan majalah DBP secara fizikal, para pelajar turut didedahkan dengan penggunaan bahasa gramatis dan baku sehingga membantu mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik.

 

Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, YBrs. Dr. Azizah Sarkowi ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2026 Peringkat Negeri Perlis.

Sementara itu, Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim menjelaskan bahawa inisiatif MDK yang telah bermula sejak tahun 1988 telah membantu guru mempelbagaikan teknik pengajaran bahasa Melayu.

“Penggunaan majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa dilihat mampu memberikan suntikan baharu dalam sesi pembelajaran di dalam bilik darjah,” ujarnya.

Penganjuran Program Kembara MDK pada tahun 2026 ini merupakan kali kedua IPG Kampus Perlis dan Sekolah Kebangsaan IPGM dipilih sebagai tuan rumah, sekali gus memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dalam memacu agenda literasi kebangsaan.

Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Utara ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sebelum ini, program anjuran DBP Wilayah Utara ini turut menampilkan pengisian utama, iaitu MDK Dewan Pelajar bagi sekolah rendah dan MDK Dewan Siswa bagi sekolah menengah yang bertujuan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid.

Penganjuran Kembara MDK Peringkat Negeri Perlis pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 100 orang pelajar sekolah rendah daripada 24 buah sekolah dan 93 orang pelajar sekolah menengah daripada 10 buah sekolah di sekitar daerah Kangar.

Perancang Bahasa, Puan Syaza Wardina sedang memberikan taklimat mengenai Majalah Dewan Pelajar  kepada para pelajar sekolah rendah.

Sementara itu, penganjuran bengkel guru pula melibatkan penyertaan sebanyak 34 orang guru dari sekolah rendah dan menengah sebagai bimbingan dan usaha memperkasakan dan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas.

Sesi bengkel MDK guru melibatkan penyertaan sebanyak 34 orang guru sebagai usaha memperkasakan dan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di dalam kelas.

Program MDK Peringkat Negeri Perlis 2026  ini merupakan anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama IPG Kampus Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN Perlis), Bahagian Majalah, Akademi DBP, serta Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP.

Turut hadir dalam Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perlis 2026 termasuklah Pegawai Sektor Sumber dan Teknologi (SSTP) yang juga mewakili JPN Perlis, Encik Zulhilmi Rosli; Ketua Pusat Sumber IPG Kampus Perlis, Puan Anis Suzila Abdul Talib, serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan IPG Kampus Perlis, Encik Amri Ahmad.

Kredit Foto: Mohd Fauzy bin Mohd Rosely
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi