Diterbitkan pada 16 April 2026, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok akan menganjurkan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Zon Utara bermula pada 4 Mei 2026 hingga 5 Mei 2026 bertempat di UiTM Merbok, Cawangan Kedah.

Program Sambutan Ulang Tahun DBP ini diadakan bagi memperingati tujuh dekad dedikasi DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu, dengan tumpuan khusus kepada komuniti di wilayah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Encik Mohd Hadi Roslan berkata, pemilihan negeri Kedah sebagai tuan rumah bagi zon utara adalah sangat signifikan berdasarkan sejarah ketamadunan yang luar biasa, khususnya di kawasan Merbok dan Lembah Bujang telah dikenal pasti sebagai tapak awal pembinaan tamadun serta pusat perdagangan purba di rantau ini sejak beribu-ribu tahun dahulu.

“Tradisi keilmuan di negeri Kedah bukan bermula semalam atau hari ini, tetapi telah berakar umbi sejak zaman awal tamadun peradaban lagi. Penemuan candi, artifak dan tinggalan pelabuhan purba menunjukkan Kedah sebagai titik pertemuan tamadun dunia,” jelas beliau.

Menyentuh aspek ketokohan, beliau menyifatkan Kedah sebagai pusat kelahiran cendekiawan tersohor negara. Antara tokoh yang dilahirkan di negeri ini termasuklah tokoh akademik, Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ismail Hussein dan Profesor Emeritus Datuk Dr. Hajah Asmah Haji Omar, selain menjadi negeri kelahiran tiga orang Sasterawan Negara, iaitu Allahyarham Shahnon Ahmad, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain dan Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Encik Mohd Hadi Roslan juga menzahirkan harapan agar ahli persatuan penulis di zon utara, serta para Munsyi Bahasa dan Munsyi Sastera dapat hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebudayaan UiTM Kedah, Yang Mulia (YM) Tengku Noorasyikin Raja Yai menyifatkan bahawa pengisian program yang bakal berlangsung ini dianjurkan bagi memenuhi keperluan semua lapisan umur dengan kemeriahan aktiviti seperti jualan MADANI dan gerai hidangan makanan di perkarangan Dewan Perdana serta aktiviti yang berteraskan pendidikan.

“Kami akan mengadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak peringkat prasekolah dan peringkat sekolah rendah dengan menjalinkan kerjasama kukuh antara JPN Kedah dengan KEMAS. Selain itu, terdapat aktiviti “Eksplorasi Jawi” bagi memartabatkan tulisan warisan kebangsaan kita,” jelasnya.

Dari sudut ilmiah pula, program akan diisi dengan sesi “Bicara Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain” oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Zurinah Hassan serta slot Wacana Bahasa: Jiwa Cendekia.

Selain itu, acara yang paling dinanti-nantikan ialah “Malam Suara Utara” yang akan bermula pada pukul 8:00 malam (4 Mei) di Dewan Perdana UiTM Merbok bagi menyerlahkan bakat puisi daripada mahasiswa, staf, serta penggiat seni dari zon utara.

“Persembahan kemuncaknya akan membawakan persembahan khas oleh artis yang identitinya masih dirahsiakan sebagai kejutan buat semua yang akan datang nanti,” tambah YM Tengku Noorasyikin Raja Yai .

Tambahnya lagi, dari aspek logistik, penganjur memberikan jaminan ketersediaan ruang parkir yang luas di hadapan Padang Kawat bagi memudahkan urusan pengunjung luar, selain tahap keselamatan akan dipantau sepenuhnya oleh pihak keselamatan UiTM bagi menjamin suasana yang tenang.

Mengakhiri sesi perkongsian tersebut, Encik Mohd Hadi Roslan merakamkan penghargaan kepada UiTM Cawangan Kedah selaku rakan sinergi utama kerana dapat merealisaikan program yang berimpak. Senada dengan itu, YM Tengku Noorasyikin Raja Yai  turut menzahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan oleh DBP untuk memilih kampus Sungai Petani dan menyeru semua mahasiswa serta penduduk setempat agar datang beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan bersejarah ini.

Kredit Foto: Tangkap Layar Facebook DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi