Diterbitkan pada 16 April 2026, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Dalam kerangka pelaksanaan Program Akademi Dalam Industri (ADI) yang memfokuskan pembangunan bakat berasaskan industri serta peningkatan produktiviti tenaga kerja selaras dengan agenda nasional di bawah RMK-13, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Malaysian Press Institute (MPI) memperkenalkan dua program Diploma Profesional Kewartawanan baharu yang berfokuskan pada keperluan semasa industri media, iaitu Diploma Profesional Kewartawanan AI dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber.

Pengenalan dua program ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan pengamal media menghadapi perubahan landskap kewartawanan yang semakin dipacu oleh teknologi, khususnya dalam era kecerdasan buatan dan ancaman keselamatan digital. 

Pelaksanaan program ini melalui pendekatan ADI bukan sahaja menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti organisasi media melalui peningkatan kecekapan, kualiti penyampaian maklumat dan keupayaan adaptasi teknologi.

Inisiatif ini turut dilaksanakan dalam kerangka Akademi Dalam Industri (ADI), yang menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan industri melalui gabungan latihan praktikal dan teori secara bersepadu.

Dalam sebuah taklimat bertajuk “Pengenalan Laluan Diploma Profesional Kewartawanan” yang dipengerusikan oleh Pengurus Kanan Bahagian Produktiviti Insan MPC, YBrs. Puan Nazilah Ahmad, beliau berkata Diploma Profesional Kewartawanan AI direka untuk melengkapkan wartawan dengan pemahaman menyeluruh tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan dan penyebaran berita. 

“Program ini merangkumi automasi kandungan, analisis data, pengesanan maklumat palsu serta kefahaman terhadap algoritma digital. Penekanan turut diberikan kepada aspek etika bagi memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan prinsip kewartawanan seperti ketepatan, keseimbangan dan integriti,” ujar beliau.

“Sementara itu, Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber memfokuskan keupayaan wartawan dalam memahami ancaman siber, perlindungan data dan pelaporan isu keselamatan digital secara bertanggungjawab,” tambah beliau.

Kedua-dua program ini merupakan Diploma Profesional Luar Negara yang diperakui pada peringkat antarabangsa melalui badan pensijilan London Examination Board (LEB), sekali gus memperkukuh nilai dan pengiktirafan kompetensi peserta dalam industri.

Modul program dibangunkan secara kolaboratif bersama-sama dengan UTMSPACE Services Sdn. Bhd. dalam memastikan kandungan latihan memenuhi piawaian akademik yang ditetapkan serta selari dengan keperluan semasa industri. 

Beliau menjelaskan bahawa peserta akan dinilai berdasarkan standard pensijilan yang ditetapkan sebelum dianugerahkan pengiktirafan profesional dan akademik yang berkaitan.

“Program ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dalam tempoh intensif selama tiga bulan, dengan pendekatan pembelajaran yang fleksibel dan praktikal, dan disasarkan kepada wartawan dan petugas media berumur antara 18 hingga 40 tahun yang sedang berkhidmat dalam agensi media,” jelas beliau.

Bagi memastikan pemilihan peserta yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri, penyertaan dalam program ini perlu dicadangkan oleh majikan masing-masing kepada MPI sebagai syarat utama kemasukan. 

Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan calon yang dipilih benar-benar berpotensi untuk menyumbang kepada organisasi serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam persekitaran kerja sebenar, selaras dengan matlamat ADI dalam meningkatkan produktiviti berasaskan pekerjaan.

“Tawaran pengambilan peserta adalah terhad kepada 40 orang bagi kedua-dua program ini bagi menekankan kualiti pembelajaran dan keberkesanan latihan. Bilangan terhad ini juga membolehkan pemantauan yang lebih rapi serta interaksi yang lebih berfokus antara peserta dengan tenaga pengajar,” ujar beliau.

Bagi menyokong penyertaan yang lebih meluas, peserta yang layak akan ditawarkan dana inisiatif di bawah MPC sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan bakat dalam industri media. 

Selain itu, sebahagian kos program juga boleh dituntut melalui levi HRD Corp oleh organisasi media kepada MPI, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan menggalakkan pelaburan dalam latihan profesional.

Dalam jangka panjang, kerjasama antara MPC-MPI ini dilihat sebagai model strategik pembangunan bakat berasaskan industri yang berimpak tinggi. Pendekatan ini menyokong agenda nasional dalam memperkukuh produktiviti sektor perkhidmatan serta meningkatkan daya saing industri media Malaysia pada peringkat global. 

Dengan pengenalan Diploma Profesional Kewartawanan AI dan Diploma Profesional Kewartawanan Keselamatan Siber, MPC dan MPI terus memperkukuh usaha memperkasakan bidang kewartawanan negara, sekali gus menyokong pembangunan bakat, inovasi teknologi dan daya saing Malaysia pada peringkat global.

Kredit Foto: Media MPI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi