Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkenalkan tiga kategori utama bagi Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) dalam satu majlis prapelancaran yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya, semalam.
Tiga kategori yang diumumkan merangkumi Media Cetak/Portal Berita; Media TV/Radio/Portal (Video Dalam Talian) serta Media Sosial (Video Pendek).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, pembahagian kategori tersebut mencerminkan realiti landskap media masa kini yang semakin pelbagai, melibatkan gabungan platform konvensional dan digital dalam membentuk pemahaman serta persepsi masyarakat.
Majlis Pengumuman Rasmi Anugerah Media ADI dianjurkan oleh MPC dengan kerjasama Malaysia Press Institute (MPI) sebagai satu inisiatif strategik bagi mengiktiraf peranan pengamal media dalam menyokong agenda produktiviti dan pembangunan modal insan negara.
YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi berkata inisiatif ADI memberikan manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan, membuka peluang pendapatan yang lebih baik serta menyediakan laluan pembangunan kemahiran yang lebih fleksibel dan relevan dengan keperluan industri semasa.

“Pada masa sama, pihak industri turut mendapat manfaat melalui penyediaan tenaga kerja yang lebih kompeten, sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelantikan MPI sebagai sekretariat adalah selaras dengan kepakaran institusi tersebut dalam pembangunan profesional kewartawanan, pengurusan anugerah media serta jaringan luas bersama organisasi media di seluruh negara.
Peranan MPI bukan sahaja melibatkan aspek penyelarasan dan pengurusan pertandingan, malah merangkumi pemantauan proses penilaian, pelibatan panel juri serta memastikan standard kewartawanan yang tinggi dipatuhi sepanjang penganjuran anugerah ini.
Akademi Dalam Industri (ADI) pula merupakan satu inisiatif nasional yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan industri melalui pendekatan latihan di tempat kerja (place and train), pensijilan kemahiran serta laluan akademik bersepadu.
Sehubungan dengan itu, penganjuran Anugerah Media ADI dilihat sebagai platform penting dalam mengiktiraf sumbangan pengamal media menghasilkan kandungan berkualiti tinggi berkaitan dengan pembangunan bakat dan produktiviti.
Melalui penganjuran ini, MPC menyasarkan peningkatan kualiti liputan media berkaitan dengan ADI, khususnya dari segi ketepatan fakta, kefahaman konsep serta keupayaan kandungan dalam menonjolkan impak produktiviti kepada industri dan tenaga kerja. Selain itu, anugerah ini juga dijangka mampu meningkatkan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan pembangunan kemahiran berasaskan industri sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Dari segi pelaksanaan, penyertaan akan dibuka kepada semua pengamal media dalam tempoh yang akan diumumkan kelak. Semua karya yang dipertandingkan mestilah telah diterbitkan dalam tempoh pertandingan serta memberikan fokus kepada ADI, termasuk aspek produktiviti bakat, kebolehkerjaan dan impak kepada syarikat serta industri.
Penilaian pula akan dilaksanakan oleh panel juri yang dilantik berdasarkan beberapa kriteria utama, antaranya kualiti kandungan, ketepatan fakta, kejelasan mesej serta impak terhadap pemahaman awam.
Penganjuran anugerah ini dijangka menjadi pemangkin kepada penghasilan karya kewartawanan yang lebih berkualiti, sekali gus memperkukuh peranan media sebagai rakan strategik dalam menyokong agenda pembangunan negara.