Diterbitkan pada 14 April 2026, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pandawan – Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif kos sara hidup secara lebih proaktif dan bersasar menerusi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sebagai antara mekanisme intervensi utama bagi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi global termasuk kesan krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBhg. Datuk Armizan Mohd. Ali menyatakan bahawa program yang kini merangkumi 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara termasuk 40 zon di Wilayah Persekutuan dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi setiap DUN.

Melalui PJRM, rakyat ditawarkan barangan keperluan asas pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa, melibatkan barangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur dan ayam.

Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026, sebanyak 7,320 siri PJRM telah dilaksanakan dengan mencatatkan lebih 7.38 juta transaksi di seluruh negara.

Pada masa yang sama, sebanyak 775 siri program di Sarawak berjaya direalisasikan dengan lebih 761,000 transaksi direkodkan, sekali gus menunjukkan keberkesanan program ini dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati akses barangan keperluan asas pada harga berpatutan, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah ini mengambil kira potensi gangguan terhadap rantaian bekalan dan peningkatan kos logistik yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan di pasaran.

Sehubungan dengan itu, liputan kawasan serta kekerapan program akan dipertingkatkan secara lebih tersasar.

Sementara itu, kerajaan turut memperluas pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di Sarawak dengan memasukkan bot penumpang sebagai kategori tambahan yang layak menerima subsidi.

Bermula 9 Oktober 2025, kelulusan diberikan kepada pengusaha bot penumpang selepas mengambil kira peranan penting pengangkutan air sebagai medium perhubungan utama bagi komuniti setempat.

Sehingga kini, sebanyak 29 syarikat berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah diluluskan di bawah SKPS, membolehkan mereka mendapatkan petrol RON95 pada kadar subsidi RM2.05 seliter.

Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi pengusaha, malah memastikan perkhidmatan pengangkutan awam air kekal berdaya saing dengan tambang yang berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di tengah-tengah cabaran ekonomi semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi