Diterbitkan pada 13 April 2026, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dewan Banquet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam, telah mengangkat tema “Kesihatan Buah Pinggang untuk Semua: Menjaga Manusia, Menjaga Planet”.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa tema tahun ini selari dengan visi kementerian untuk membina sistem kesihatan yang bukan sahaja inklusif dan adil, malah bersifat mampan agar mampu bertahan menghadapi cabaran masa hadapan tanpa mengabaikan kualiti rawatan terhadap pesakit

Beliau turut menyifatkan cabaran penyakit tidak berjangkit (NCD) sebagai agenda kritikal negara selepas mengharungi fasa pandemik COVID-19 yang meragut kira-kira 36,000 nyawa rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian semasa Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 bertempat di Wisma MBSA, Shah Alam semalam.

Menyentuh mengenai aspek kelestarian, Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), YBrs. Professor Dr. Lim Soo Kun menyatakan bahawa kira-kira 2 bilion liter air digunakan pada setiap tahun bagi menampung keperluan 50,000 pesakit hemodialisis di Malaysia.

“Jangan tunggu buah pinggang merajuk bertahun, apabila dialisis baru sedar air banyak yang terpakai. Penjagaan buah pinggang yang lestari kini menjadi satu keperluan dan bukan lagi satu pilihan,” ujar beliau.

Menurut beliau, jumlah air yang sangat besar ini sebenarnya mencukupi untuk menampung keperluan air minuman seumur hidup bagi 33,000 individu.

Perkara ini menjadi asas kepada pelancaran kenyataan pendirian (position statement) oleh MSN mengenai Green Nephrology, iaitu pendekatan untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar dalam rawatan ginjal.

Panduan ini bertujuan untuk memupuk amalan dialisis yang lebih hijau menerusi pengurangan pembaziran air dan kecekapan tenaga tanpa menjejaskan kualiti rawatan pesakit.

Selaras dengan usaha kelestarian tersebut, Perunding Kanan Pakar Nefrologi, merangkap Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), YBrs. Dr. Sunita Bavanandan menegaskan bahawa komitmen mereka untuk memperluaskan akses rawatan melalui pengesanan awal melibatkan lebih 600,000 individu yang telah disaring sejak tahun 2008.

NKF kini dalam fasa agresif untuk memperkasakan rawatan di luar bandar dengan perancangan pembukaan pusat hemodialisis baharu di Batang Kali, Selangor dan pengembangan kapasiti di Sarikei, Sarawak.

Selain itu, NKF juga akan menubuhkan pusat latihan dialisis peritoneal (PD), iaitu rawatan untuk kegagalan ginjal di negeri seperti Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan yang lebih fleksibel.

Dr. Sunita Bavanandan menjelaskan bahawa pengesanan awal adalah kunci utama memandangkan ramai pesakit hanya menyedari keadaan mereka apabila sudah berada pada peringkat akhir.

“Satu kerjasama strategik telah dimeterai antara KKM, NKF, serta 12 badan NGO lain bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCDs). Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan 2030 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelas beliau.

Majlis ini memperlihatkan sinergi padu antara kerajaan, agensi pakar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kesihatan terbaik sambil memelihara bumi untuk generasi akan datang.

Kredit Foto: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi