Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan komitmen penuh dalam memastikan keselamatan dan kebajikan warga sekolah SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Bachok, terjaga susulan insiden kebakaran yang melanda sekolah berkenaan petang semalam.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa beberapa langkah proaktif telah diatur bagi mendepani impak insiden tersebut, yang merangkumi bantuan kewangan, kelangsungan akademik, serta sokongan emosi kepada warga sekolah yang terkesan.
Bagi mempercepat proses pemulihan fizikal sekolah, KPM telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM100,000.
Menurut Menteri Pendidikan, dana tersebut akan digunakan bagi tujuan kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran secara menyeluruh, pembaikan infrastruktur asas melibatkan pendawaian elektrik serta penyambungan semula bekalan air bagi memastikan fasiliti sanitasi berfungsi dengan baik sebelum sekolah beroperasi semula.
Memandangkan premis sekolah kini dikosongkan sepenuhnya bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan penilaian keselamatan, sesi persekolahan secara bersemuka ditangguhkan buat sementara waktu.
“Guru dan murid akan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang minggu ini bagi memastikan silibus pembelajaran tidak terjejas,” ujar beliau menerusi kenyataan tersebut.
Menyedari trauma yang mungkin dialami oleh warga sekolah, pasukan kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan telah diarahkan menjadi kumpulan sokongan emosi kepada mangsa yang terlibat.
Program sokongan psikososial ini bertujuan untuk memberikan ruang bimbingan dan bantuan emosi kepada murid, guru, serta kakitangan sekolah yang terkesan secara langsung rentetan kejadian tersebut.
Langkah ini diambil bagi memastikan ekosistem sekolah kekal kondusif dan warga sekolah dapat kembali beroperasi dalam keadaan mental yang stabil sebaik sahaja premis disahkan selamat untuk diduduki semula.