Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarang – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong, Marang hari ini.
Pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu itu disifatkan sebagai “kepingan terakhir” bagi melengkapkan kolej matrikulasi di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.
“Semua negeri sudah mempunyai kolej matrikulasi, maka kita rasa sesuai dan wajar kita teruskan projek yang seterusnya di Terengganu ini. Pembinaan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti,” ujar beliau.
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa pendidikan merupakan alat utama untuk meningkatkan mobiliti sosial.
Beliau menjelaskan bahawa dasar pendidikan kerajaan tidak hanya tertumpu kepada sekolah elit, tetapi memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada anak-anak seperti golongan petani, nelayan dan pekebun untuk bersaing pada peringkat tertinggi.
“Keadilan sebenarnya ialah pendemokrasian akses kepada pendidikan berkualiti. Kita mahu pastikan anak-anak dari keluarga B40 dan kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik,” kata beliau.
Rentetan daripada pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan dengan pelajar cemerlang 10A SPM layak mengikuti program matrikulasi secara automatik, beliau turut memberikan jaminan bahawa kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera tetap dikekalkan bagi memastikan keseimbangan dan merapatkan kesenjangan sosioekonomi antara kaum.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Wong Kah Woh menyatakan bahawa sebanyak 7,000 orang anak Terengganu membuat permohonan masuk ke matrikulasi pada sesi kali ini berbanding dengan 4,458 permohonan pada tahun 2021.

“Sebelum ini, adik-adik kita dari negeri Terengganu, kebiasaannya apabila ditawarkan untuk masuk ke program matrikulasi, mereka akan ditawarkan masuk sama ada ke Kolej Matrikulasi Pahang ataupun Kolej Matrikulasi Kelantan. Jika kolej matrikulasi di Terengganu siap, mereka tidak perlu mereka merantau ke negeri lain lagi,” tambah YB Wong Kah Woh.
Projek Kolej Matrikulasi Terengganu ini juga bakal memperkenalkan konsep Vertical School yang pertama seumpamanya bagi institusi pendidikan di Terengganu. Konsep bersepadu ini akan menggabungkan bilik darjah, kemudahan asrama, klinik dan pusat aktiviti dalam satu struktur bangunan yang moden bagi mengoptimumkan penggunaan ruang tanah.
Majlis pecah tanah ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menerima pujian daripada Perdana Menteri atas kerjasama erat dalam menyelaraskan projek ini demi kebajikan anak-anak Terengganu.